Kita sudah pun mendengari berita kehadiran kad TnG serba canggih yang membolehkan anda menambah nilai secara terus di telefon pintar tidak lama lagi. Fungsi ini sangat dinantikan ramai pengguna kerana mudah dan pantas sekaligus boleh melancarkan kerja seharian anda.
Kad terbaharu ini dinamakan sebagai Enchanted Touch ‘n Go dengan rekaan yang lebih sleek serta menampilkan logo NFC pada bahagian hujung kad. Difahamkan pengguna perlu membeli kad lain untuk menikmati fungsi tersebut dan ia bakal diasingkan daripada kad sebelum ini.
Berdasarkan video yang pernah dimuat naik menerusi saluran YouTube Touch ‘n Go sebelum ia dipadam, terdapat beberapa langkah yang perlu dibuat terlebih dahulu untuk menikmati fungsi NFC itu. Berikut merupakan langkah-langkah yang anda perlu buat untuk mendapatkan kad Enchanted Touch ‘n GO dan menggunakannya.
Cara menambah nilai kad TnG NFC secara terus menerusi telefon pintar.
1. Pertama sekali, anda perlu menempah kad tersebut menerusi aplikasi TnG eWallet seperti mana menempah tag RFID. Kad tersebut berharga RM10 tetapi tidak termasuk kos penghantaran.
2. Sebaik anda menerima kad fizikal tersebut, anda perlu sambungkan pula Enchanted TnG Card ke akaun eWallet anda. Dengan ini, ia membolehkan anda melihat baki serta melakukan proses tambah nilai.
3. Akhir sekali, anda diperlukan menambah nilai mengikut jumlah yang diingini di akaun eWallet yang digunakan kemudian letakkan kad TnG tersebut pada belakang telefon pintar anda selama lima saat.
Untuk makluman, anda mestilah mempunyai telefon pintar yang menyokong ciri NFC lalu aktifkannya untuk menambah nilai kelak. Fungsi ini boleh digunakan pada platform Android mahu pun iOS.
Setakat ini, fungsi tambah nilai menerusi kad yang baru dilancarkan ini masih belum ditawarkan secara rasmi buat para pengguna dan dijangka bakal diumumkan kelak oleh pihak TnG.
Pengenalan kad TnG serba canggih ini dijangkakan akan hadir tidak lama lagi memandangkan sudah pernah berkongsikan maklumat dan video terperinci sebelum ini. Malah, sebahagian pengguna telah mengesan kewujudan penjualan kad tersebut di laman Shopee baru-baru ini.
Pada awal bulan ini, pihak Touch ‘n Go eWallet juga sudah menawarkan skim pinjaman peribadi mencecah RM10,000 buat pegguna yang layak.
Aplikasi Touch ‘n Go eWallet Sedia Tawarkan Skim Pinjaman Peribadi Mencecah RM10,000
Pembayaran Minyak Menggunakan TnG RFID Sedia Ditawarkan Pada Beberapa Stesen Shell Terpilih