Program PerantiSiswa telah pun membuka permohonan secara online buat mereka yang layak untuk menerima tablet percuma bagi tujuan pembelajaran. Susulan kritikan orang ramai, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa telah mengeluarkan beberapa maklum balas di Twitternya.

Menjawab kebimbangan mengenai keputusan untuk mendapatkan tablet berbanding komputer riba, Menteri berkata adalah lebih baik kerajaan menyediakan tablet berkualiti tinggi berbanding komputer riba berkualiti rendah. Beliau berkata kerajaan komited untuk mengedarkan 350,000 tablet daripada jenama yang dipercayai dan diyakini pengguna.

Sumber Gambar: Twitter

Hal ini bagi memastikan para pelajar boleh mendapat manfaat daripadanya dan program ini tidak menjadi sia-sia. Selain itu, beliau juga mengulas sebab mengapa kerajaan memutuskan untuk menawarkan tablet itu sebagai pinjaman dan bukannya pemberian secara terus kepada pelajar seperti yang diharapkan.

Beliau menerangkan bahawa dengan pengedaran terus akan menyebabkan tiada penggantian peranti jika pelajar mengalami kehilangan atau kerosakan tablet itu kelak. Terdapat juga kemungkinan bahawa pelajar akan menyerahkan kepada adik-beradiknya atau menjualnya sekaligus bertentangan dengan objektif asal program PerantiSiswa.

Menerusi model pinjaman tablet ini, beliau berkata pelajar yang mengalami kerosakan tablet boleh meminta penggantian dan ini akan memastikan mereka akan sentiasa mempunyai peranti pada setiap masa sehinggalah menamatkan pengajian. Malah, beliau turut menggelarkan program PerantiSiswa sebagai program hak guna pakai.

Sehubungan itu, dengan model pinjaman untuk tablet ini akan memastikan kesinambungan supaya pelajar yang menamatkan pengajian boleh menyerahkan tablet tersebut kepada pelajar-pelajar yang baru memasuki institusi pengajian tinggi. Setakat ini, masih belum diketahui jenama tablet yang ditawarkan tetapi dijangka akan diedarkan pada Jun ini.

Sementara itu, para pelajar yang mahu mengetahui berkaitan syarat dan cara memohon boleh klik pautan di bawah untuk lebih lanjut.

Ini Syarat-Syarat Dan Cara Memohon PerantiSiswa Keluarga Malaysia Buat Pelajar IPT

Tablet PerantiSiswa Perlu Dipulangkan Semula Selepas Pelajar Taman Pengajian

Sumber