Animasi merupakan satu industri yang boleh menjana pendapatan berbilion ringgit di peringkat global. Sebenarnya terdapat sejumlah studio animasi tempatan terkemuka yang telah menempa nama di persada antarabangsa.
Menerusi perkongsian satu thread Twitter oleh @richardker, beliau telah mendedahkan sebanyak enam studio animasi tempatan terkemuka yang berjaya dilahirkan daripada Cyberjaya. Mari kita kenali dengan lebih dekat keenam-enam studio animasi tempatan yang dimaksudkan.
1. Animonsta studios
1. Animonsta Studios
Also known as Monsta, they're famous for Boboiboy, Fly with Yaya, Papa Pipi & Mechamoto (2022).
It was founded in 2009 by Mohd Nizam Abd Razak, Muhammad Anas Abdul Aziz, Mohd Safwan Abd Karim & Kee Yong Pin.
They have more than 10 million subs on YouTube. pic.twitter.com/1K8bUwgE8Y
— Richard Ker (@richardker) May 10, 2022
Siapa sahaja tidak mengenali animasi bersiri seperti BoboiBoy dan Mechamoto yang sangat terkenal di Malaysia malah kini sudah berjaya menembusi di pasaran dunia. Syarikat Animonsta Studios ini telah diasaskan pada tahun 2009 oleh Mohd Nizam Abd Razak, Muhammad Anas Abdul Aziz, Mohd Safwan Abd Karim dan Kee Yong Pin.
Menariknya, saluran Youtube Monsta juga mempunyai lebih daripada 10 juta subscribers. Siri-siri animasi tersebut pula telah dialihkan ke beberapa versi bahasa yang lebih mudah difahami di pasaran terpilih serta diagihkan oleh syarikat terkemuka seperti Bandai Namco Art dan Warner Media.
2. Wau Animation
Studio Wau Animation juga tidak kurang hebatnya yang mana berjaya mencuri perhatian umum dengan kualiti animasi yang cukup hebat menerusi animasi bersiri Ejen Ali. Bukan sahaja mampu menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa, malah studio ini menginspirasikan bandar fiksyen Cyberaya di dalam animasi mereka daripada Cyberjaya.
Studio ini diasaskan oleh Usamah, Faiz, Nazmi, Syafiq dan Fuad dan kini pasukan mereka sudah bertambah sehingga 90 perkerja yang dikenali sebagai WAUriors. Wau Animation pada mulanya hanya menfokuskan kepada penghasilan program animasi untuk TV3 Malaysia kemudian pada hari ini telah mengorak langkah ke tahap yang lebih bagus.
3. Digital Durian
Selain itu, studio animasi Digital Durian juga sangat terkenal menerusi siri animasi prasekolah Didi & Friends dan Omar & Hana yang disiarkan di Astro Ceria. Beribu pejabat di Cyberjaya, Selangor, Digital Durian diasaskan pada tahun 2008 oleh Sinan Ismail dan Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian.
Kedua-dua siri animasi tersebut sudah menembusi sejumlah pasaran seperti Eropah, Amerika Syarikat, Afrika dan Timur Tengah. Pada tahun 2020 lalu, rancangan Didi & Friends telah berjaya memenangi anugerah Program Prasekolah Terbaik di Asian Television Awards Ke-24 di Manila.
4. Todak Studios
Selain menawarkan kerusi gaming bertaraf antarabangsa, syarikat Todak Studios juga menfokuskan kepada pembangunan permainan dan penerbitan permainan. Syarikat ini ditubuhkan oleh Khairul Azlan Zainal Ariffin pada tahun 2018. Antara permainan yang berjaya dihasilkan adalah Polis Sentri dan ToGather: Island.
Bahkan, kedua-dua permainan ini telah dipamerkan di acara Tokyo Game Show 2021. Di samping itu, studio ini turut menggunakan perisian dan teknologi yang terkini dalam memastikan pembangunan permainan yang dihasilkan mencapai tahap yang terbaik serta menepati keperluan pelbagai platform hari ini.
5. OLM Asia
OLM Group merupakan sebuah studio animasi, animasi CGI dan visual efek terkemuka Jepun yang menghasilkan karya popular seperti Pokemon dan Bayblade. Apa yang menarik adalah mereka telah membuka cawangan di luar Jepun buat pertama kalinya di Malaysia pada tahun 2018.
Studio ini telah mengambil bahagian di dalam produksi animasi bersiri Pokemon dan boleh dilihat pada babak kredit di mana terpapar sebahagian nama-nama bakat tempatan menerusinya. Mereka yang berkerja di bawah studio ini sudah pasti mempunyai kepakaran animasi yang mendalam sekaligus layak mengambil bahagian di dalam siri animasi terkemuka.
6. Multimedia University (MMU)
MMU Cyberjaya telah ditubuhkan pada tahun 1999 dan menjadi salah satu universiti yang terkemuka di dalam bidang teknikal animasi di Malaysia. Ditambah pula ramai pengasas studio animasi tempatan yang berjaya tercipta di Cyberjaya sememangnya pelajar di universiti MMU ini.
Salah satu produksi MMU yang paling viral adalah Chandu, permainan yang menampilkan seorang wira Tanah Melayu semasa perang dunia kedua iaitu Leftenan Adnan. Dengan kecanggihan teknologi yang ada, kisah Leftenan Adnan boleh diterokai dalam bentuk permainan virtual reality (VR).
7. Durioo
Akhir sekali, sebuah platform penstriman menfokuskan kanak-kanak Muslim ini juga berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa. Dengan menawarkan konten animasi yang mematuhi syariah di dalam bahasa Inggeris, mereka juga boleh menarik minat sejumlah pengguna di peringkat global.
Durioo ini telah diasaskan oleh Sinan Ismail yang mana salah satu individu penting di dalam siri Didi & Friends terkenal tersebut. Beliau mempunyai matlamat untuk menjadikan Durioo sebagai Disney dan Netflix untuk kanak-kanak muslim. Bahkan, pada tahun ini mereka dikatakan berpeluang menerima pelaburan besar daripada pelabur global.
Kini sedikit sebanyak kita mengetahui beberapa studio animasi tempatan terkemuka yang berjaya membawa industri animasi kita ke tahap yang membanggakan serta dikenali seantero dunia.
Sementara itu, jika anda berminat dengan lebih banyak kisah bakat tempatan dan seumpamanya, boleh ikuti akaun Twitter @richardker.
Ketahui juga sejumlah usahawan teknologi yang berjaya dilahirkan dari Cyberjaya dengan lebih terperinci menerusi pautan di bawah.
Didakwa Bandar Yang ‘Gagal’, Ini Bukti 8 Usahawan Teknologi Yang Berjaya Dilahirkan Dari Cyberjaya