Bila sebut Cyberjaya, mungkin terdapat individu yang mempunyai tanggapan bahawa ia hanyalah satu idea yang gagal untuk dijayakan seperti yang diidamkan sebagai Silicon Valley Malaysia. Sebenarnya, masih banyak rahsia kejayaan individu tempatan yang berjaya di Cyberjaya tetapi tidak dihebohkan kepada umum.

Menerusi perkongsian satu thread oleh @richardker di Twitter, beliau mendedahkan seramai lapan individu usahawan teknologi berasal daripada Cyberjaya yang berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Oleh itu, mari kita kenali dengan lebih dekat akan kesemua individu yang dimaksudkan tersebut.

1. Arif Tukiman – RunCloud

Pertama sekali, usahawan berjaya yang dimaksudkan adalah Arif Tukiman. Beliau merupakan pengasas dan CEO kepada syarikat RunCloud yang mana menawarkan panel kawalan berpusat untuk membantu mengurus dan memantau pelayan awan.

Syarikat startup yang terletak di Cyberjaya ini sudah mengguruskan lebih daripada 220,000 aplikasi web dari lebih 100 negara termasuklah Amerika Syarikat dan UK. Yang lebih membanggakan apabila beliau berjaya tercalon di dalam senarai Forbes 30 Under 30 di Asia pada tahun 2020.

2. Kamarul A Muhamed – Aerodyne Group

Sumber Gambar: Digital News Asia

Dengan perkembagan teknologi dron yang semakin meluas pada hari ini, syarikat Aeordyne Gyroup milik Kamarul A Muhamed juga tampil berjaya dalam arena dron dengan menjadi penyedia solusi dron nombor satu dunia. Malah, kini sudah beroperasi di 35 buah negara.

Mereka membantu syarikat-syarikat di luar sana mengadaptasi perubahan secara digital menggunakan dron dan teknologi data mereka. Perkhidmatan dron mereka sedia ditawarkan kepada pihak ketiga untuk kegunaan industri. Beliau juga dinobatkan sebagai EY Entrepreneur of the Year pada tahun 2020.

3. Khairul Azlan Zainal Ariffin – Todak

Sumber Gambar: Harian Metro

Jika anda seorang gamer, pasti anda sangat kenal dengan Khairul Azlan Zainal Ariffin selaku pengasas Todak yang mana berjaya menghasilkan produk kerusi gaming setanding jenama ternama di luar sana serta membawa arena permainan tempatan ke tahap yang bagus. Malah, syarikatnya sedang menerokai lebih banyak peluang di dalam industri.

Todak kini telah menceburi pelbagai bidang seperti permainan, studio, video, akademi dan sebagainya. Syarikat ini mempunyai visi yang sangat jelas mahu mendirikan satu ekosistem lengkap di bawah Todak. Jadi, tidak hairanlah satu hari nanti syarikat ini bakal menjadi salah satu jenama pilihan gaya hidup pengguna di peringkat global.

4. Dr Hanafiah Yussof – Roboprenuer

Sumber Gambar: EY

Seterusnya, di dalam arena robotik juga sudah diceburi dengan jayanya oleh anak tempatan kita yang dikenali sebagai Dr Hanafiah Yussof. Beliau telah mengasaskan sebuah syarikat Roboprenuer Sdn Bhd pada tahun 2015 dengan menawarkan servis robotik yang mana merangkumi produk dan penyelesaian robotik untuk kegunaan profesional dan domestik.

Robot yang dibangunkan ini meliputi industri servis dan hospitaliti, perubatan dan penjagaan kesihatan, pembersihan industri dan pendidikan. Beliau juga merancang untuk menjadikan robot sebagai sebahagian perkara biasa yang digunakan di rumah, hospital, restoran dan sebagainya.

5. Nurazam Alim – Twistcode

Sumber Gambar: The Petri Dish

Seorang lagi individu usahawan teknologi yang berjaya adalah Nurazam Alim. Beliau merupakan pengasas Twistcode iaitu sebuah syarikat AI yang mempunyai fasiliti superkomputer tersendiri yang dinamakan sebagai ADAM. Menariknya, superkomputer yang dibangunkan menduduki tempat ke-88 terpantas di dunia pada 2019.

Syarikat ini juga merupakan satu-satunya syarikat mempunyai superkomputer  ADAM yang dibangunkan sendiri di Malaysia. Selain itu, mereka juga pernah viral pada tahun lalu kerana memperkenalkan praktis empat hari berkerja dalam seminggu.

6. Datuk Khairil Adri Adnan – DreamEDGE

Sumber Gambar: The Edge Market

Syarikat DreamEDGE merupakan salah satu pemangkin inovasi negara yang sangat berpengalaman dalam perkhidmatan kejuruteraan digital dan terlibat dalam R&D pelbagai teknologi. Datuk Khairil Adri Adnan juga sangat yakin dengan menyatakan syarikat di Malaysia mempunyai jurutera terbaik di dunia yang boleh berkerja secara fleksibel walau di mana jua.

Menariknya, syarikat ini sebenarnya merupakan salah satu tulang belakang di dalam industri automotif negara dan juga telah berkolaborasi secara strategik bersama sejumlah syarikat pembuat kenderaan di Jepun seperti Daihatsu. Kepakaran yang dimiliki telah ditawarkan di peringkat global dan berjaya mengharumkan nama Malaysia sekaligus.

7. Muhamad Nasir Habizar – JomParking

Sumber Gambar: JomParking

Selain daripada itu, pengasas aplikasi JomParking iaitu Muhamad Nasir Habizar juga merupakan salah satu kejayaan yang dilahirkan di Cyberjaya. Kita sedia maklum aplikasi JomParking telah memudahkan para pemilik kenderaan membuat pembayaran di dalam talian untuk petak letak kenderaan yang digunakan.

Menariknya, idea solusi ini telah pun dieksport ke rantau ASEAN, Arab Saudi dan Sri Lanka. Malah, beliau sedia memperluaskan ciri selain membayar petak letak kenderaan seperti pembayaran insuran dan banyak lagi pada masa kelak. Hal ini sekaligus memudahkan para pengguna mengakses kesemua ciri tersebut pada satu aplikasi sahaja.

8. Mohd Nizam Abdul Razak – Animonsta Studio

Sumber Gambar: Wiki Index

Siapa sahaja tidak kenal watak BoboiBoy? Kini francais animasi terkenal ini telah pun berjaya menembusi pasaran hiburan di lebih 70 buah negara seperti di Asia Tenggara, India, Turki dan banyak lagi. Individu yang bertanggungjawab disebalik francais animasi yang serba gah ini adalah Mohd Nizam Abdul Razak selaku pengasas Animonsta Studio.

Selain menerima permintaan yang cukup tinggi di luar sana, mereka juga telah berkolaborasi bersama jenama terkemuka serta mempromosikan budaya Malaysia ke serata dunia secara tidak langsung. Siri animasi BoBoiBoy sememangnya sudah pun diakui setaraf dengan studio-studio terkemuka luar negara.

Siapa sangka sebenarnya banyak syarikat startup tempatan yang berjaya dilahirkan menerusi Cyberjaya? Jika anda berminat untuk mengetahui lebih banyak informasi berkaitan Cyberjaya, bolehlah ikuti akaun Twitter @richardker. Diharapkan lebih banyak anak tempatan yang berjaya mengikuti jejak langkah seperti ikon-ikon di atas.

Selain itu, anda juga mengetahui enam artis tempatan yang sudah terlibat dalam dunia NFT. Klik pautan di bawah untuk lebih lanjut.

6 Artis Tempatan Yang Sudah Terlibat Dalam Dunia NFT

6 Individu Yang Menyimpan Bitcoin Terbanyak Dunia Pada Ketika Ini

Sumber