Permainan Dota 2 sangat popular di kalangan peminat permainan di seluruh dunia dan masih aktif sehingga ke hari ini. Dota 2 telah menawarkan pelbagai kosmetik watak di dalam permainan untuk menambahkan lagi keseronokan kepada pemain mengayakan watak kegemaran mereka.

Sebahagian kosmetik berkenaan sukar untuk didapatkan atau mempunyai kuantiti terhad yang membuatkan ianya sangat bernilai tinggi pada hari ini. Berikut merupakan 6 kosmetik watak Dota 2 yang termahal di pasaran.

1. Baby Roshan – (RM10,462)

permainan dota 2
Sumber Gambar: eSporttale

Pertama sekali, Baby Roshan merupakan kosmetik paling mahal di dalam Dota 2 oleh kerana kesukaran mendapatkannya dan hanya ditawarkan dalam tempoh tertentu sahaja. Kebiasaannya pemain perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mencuba nasib dengan membuka case dengan harapan untuk mendapatkan kosmetik tersebut.

Dikhabarkan peratus untuk mendapatkannya hanyalah 0.04%, perkara ini telah membuatkan kosmetik ini sangat bernilai dan dicari oleh ramai orang. Dalam masa yang sama, Baby Roshan juga mempunyai pelbagai versi yang boleh didapati pada acara tertentu sahaja. Bahkan, penawaran kosmetik ini turut sangatlah jarang disenaraikan di dalam laman jualan.

2. Dragon Claw Hook – (RM7,681)

permainan dota 2
Sumber Gambar: Youtube

Kosmetik ini merupakan salah satu cebisan sejarah dan sangat ikonik di dalam arena Dota 2. Bukan hanya kerana ia sukar didapati, malahan ia telah dipopularkan oleh seorang pemain profesional antarabangsa yang berjaya menunjukkan aksi permainan yang cukup hebat pada pertandingan The International 1 yang dianjurkan oleh pihak Valve buat pertama kalinya.

Oleh yang demikian, harga Dragon Claw Hook terus melonjak naik selepas itu dan masih kukuh sehingga ke hari ini. Untuk menambahkan lagi nilai pada kosmetik berkenaan, terdapat sebahagian unit didatangkan dengan tanda tangan daripada pemain profesional secara digital padanya. Ditambah pula kosmetik ini turut hadir dengan animasi yang menarik apabila digunakan oleh pemain.

3. Rubick’s Golden Ornithomancer Mantle – (RM6,228)

permainan dota 2
Sumber Gambar: Youtube

Kebiasannya Valve akan mengeluarkan sejumlah besar kosmetik watak untuk mempromosikan acara pertandingan yang besar berkenaan. Jadi, pada acara pertandingan Major Frankfrut 2015 sejumlah kosmetik yang menarik telah dikeluarkan dengan pelbagai jenis tahap kesukaran untuk mendapatkan sesuatu kosmetik tersebut.

Semua pemain sangat terpegun melihat kosmetik watak ini memandangkan ianya diklasifikasi sebagai sangat sukar untuk didapatkan. Ditambah pula dengan warna yang keemasan yang cukup menonjol bersama efek partikel yang menarik sememangnya menjadi dambaan ramai sehingga ke hari ini.

4. Ursa Alpine Stalker Set – (RM5,021)

Sumber Gambar: Youtube

Kosmetik ini pula mempunyai keunikan tersendiri yang membuatkan ianya secara mengejut menerima permintaan tinggi di pasaran. Sebelum ini, pihak Valve sangat teliti dengan setiap set kosmetik yang ingin ditawarkan kepada pemain. Set kosmetik mestilah bersesuaian dengan watak yang ingin digayakan.

Namun begitu, set kosmetik watak ini telah dijual kepada pemain untuk seketika waktu sebelum menurunkannya oleh kerana menerima teguran daripada pemain. Hal ini kerana ramai beranggapan set tersebut tidak estetik untuk dimasukkan ke dalam Dota 2 yang mana telah menyebabkan ianya menjadi sangat berharga dan hanya terdapat di dalam kuantiti yang sedikit.

5. Genuine Axe of Phractos – (RM3,850)

Sumber Gambar: Youtube

Seterusnya, set kosmetik ini pula hanya ditawarkan kepada mereka yang membeli patung figura yang sangat mahal pada tahun 2013. Kalau dilihat set ini tidak mempunyai sebarang keistimewaan seperti efek spesial, warna berkilau yang terdapat pada set-set kosmetik terkini. Hanya terdapat sedikit warna ambien pada hujung kapaknya.

Animasi kuasa juga hanya mempunyai sedikit perubahan apabila digunakan. Akan tetapi, set kosmetik berkenaan telah menjadi rebutan pemain oleh kerana kuantiti yang terhad dan dikira rare untuk masa kini. Harga set kosmetik ini telah meningkat dan masih kukuh sehingga ke hari ini.

6. Genuine Imperial Flame Sword Packs – (RM2,820)

Sumber Gambar: Youtube

Valve menghasilkan kosmetik watak ini khas untuk menarik minat pemain daripada Korea oleh kerana ingin bersaing dengan populariti permainan League Of Legend pada tahun 2014 lalu. Ditambah pula pihak Valve berkerjasama dengan syarikat Nexon untuk membina sebuah server Korea yang terbaik bersama dengan kosmetik ini yang hanya ditawarkan menerusi server berkenaan.

Langkah yang diambil kelihatan gagal kerana Dota2 masih tidak mendapat tempat di kalangan pemain di sana. Secara tidak langsung, kosmetik ekslusif ini juga hanya terdapat di dalam kuantiti yang terhad. Kosmetik seperti Genuine Imperial Flame Sword Packs telah menjadi salah satu barangan yang unik dan masih ditawarkan pada harga yang tinggi.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya Dota 2 boleh menawarkan hadiah yang cukup lumayan buat pemain profesional dan menariknya hadiah yang ditawarkan berjaya dikutip hanya daripada transaksi yang dibuat pemain sendiri. Sebahagian orang juga mampu membuat menjana pendapatan lumayan menerusi penjualan kosmetik permainan.

Ketahui senarai barangan yang diperlukan untuk membina sebuah simulator perlumbaan di rumah anda.

Senarai Barangan Yang Diperlukan Untuk Hasilkan Simulator Perlumbaan Di Rumah

Vocket Style: Lengkapkan ‘Setup’ Anda Dengan Tomaz Armor Gaming Table