Setelah ekonomi negara kembali beransur pulih, ramai yang ingin merebut peluang untuk mencari pekerjaan di internet. Namun, sejumlah tawaran penipuan pekerjaan pula dikesan berleluasa ketika ini.

Sebelum ini, terdapat sejumlah laporan yang membabitkan mangsa daripada pelbagai latar belakang yang ditipu dengan tawaran pekerjaan yang palsu atau tidak wujud. Perkara ini perlu dipandang serius agar tiada lagi kes sedemikian. Oleh itu, berikut merupakan enam cara mengenal pasti penipuan pekerjaan di internet yang anda perlu ketahui.

1. Tawaran pekerjaan yang ‘terlalu bagus’ dan mustahil

Sumber Gambar: Thecekodok

Siapa sahaja tidak mahukan gaji yang lumayan dengan kerja yang mudah? Ini merupakan cara yang biasa digunakan oleh suspek untuk memancing mangsa masuk ke dalam jerat mereka. Sebagai contoh, anda hanya perlu melakukan tugasan seperti like atau balas komen pada sesebuah akaun sosial media dengan tawaran gaji lumayan sehingga RM5,000 dan ke atas.

Jika anda menjumpai iklan tawaran pekerjaan sebegitu, lebih baik elakkan sahaja dari memohon kerana kebiasaannya ia bukanlah pekerjaan yang sebenar atau penipuan semata-mata. Perlu diingatkan pekerjaan bergaji tinggi selalunya diberikan kepada mereka yang lebih berpengalaman atau mempunyai tahap kepakaran yang tinggi.

2. Anda dihubungi menerusi media sosial

Sumber Gambar: Marketing Insider Group

Secara umumnya, syarikat yang sah akan menghubungi dengan anda menerusi e-mel, telefon atau aplikasi pemesejan yang mana identiti sebenar mereka akan ditunjukkan. Bagaimanapun, masih ada segelintir yang menghantar melalui media sosial tetapi mereka tetap akan beralih ke platform komunikasi yang lebih formal apabila perbincangan berterusan.

Jika sesebuah syarikat itu hanya menghantar mesej menerusi media sosial dan tidak memberi maklumat lain untuk dihubungi, maka abaikan sahaja. Anda juga boleh membuat semakan terlebih dahulu tentang latar belakang sesebuah syarikat di laman  khas seperti SSM. Semua syarikat yang beroperasi sah pasti mempunyai maklumat terperinci di internet.

3. Dapat terus kerja tanpa perlu memohon atau ditemu duga

Sumber Gambar: Life-sparring

Jika seseorang menghubungi anda dalam talian dengan tawaran kerja, ini kebiasaannya tanda penipuan yang perlu anda cakna. Tawaran kerja selalunya akan datang selepas permohonan pemohon diteliti secara terperinci. Namun, sesetengah penipuan pekerjaan akan mendakwa yang mereka telah melihat kelayakkan anda di dalam talian sahaja.

Lalu, menggangap anda layak untuk sesuatu jawatan berkenaan. Ini bukanlah satu etika yang diamalkan oleh syarikat yang sah dan profesional. Malah, individu yang menaawarkan tawaran ini biasanya bersifat mendesak yang mana mahu anda menerima tawaran tersebut dengan serta-merta.

4. Syarikat hantar e-mel yang mencurigakan

penipuan pekerjaan
Sumber Gambar: Northwestern university

Berkomunikasi menerusi e-mel tidak bermaksud syarikat itu adalah sah. Anda boleh melihat penipuan pengambilan kerja berdasarkan kandungan e-mel. Periksa terlebih dahulu sama ada e-mel yang dikirim daripada alamat e-mel rasmi syarikat atau pun peribadi. Kebiasaannya mesej yang menggunakan e-mel peribadi hanyalah satu penipuan.

Cara lain untuk mengesan e-mel tawaran kerja palsu adalah dengan meneliti kandungan e-mel yang mana didapati tidak ditulis secara profesional dan dipenuhi dengan kesilapan tatabahasa. Oleh itu, anda diingatkan sentiasa menyemak sumber asal sesebuah e-mel yang diterima.

5. Majikan meminta maklumat peribadi secara berlebihan

Sumber Gambar: Transworld Business Advisor

Apabila anda meminta pekerjaan, majikan hanya perlu tahu perkara ringkas berkaitan anda seperti latar belakang kerja, tahap pendidikan, kepakaran dan maklumat peribadi asas. Selain daripada perkara itu, majikan tidak mempunyai kepentingan untuk mendapatkan maklumat tambahan anda seperti butiran bank.

Maklumat privasi sedemikian bagaimanapun hanya akan dikongsikan sekiranya anda sah berkerja dengan mereka. Oleh itu, anda perlu berhati-hati dengan iklan pekerjaan atau tawaran kerja yang memerlukan butiran anda secara berlebihan. Mereka berkemungkinan akan menggunakan maklumat anda untuk tujuan jenayah dan seumpamanya.

6. Majikan minta wang untuk melakukan tugasan

penipuan pekerjaan
Sumber Gambar: Twitter

Apabila majikan meminta wang untuk melakukan sesuatu tugasan ini adalah antara tanda penipuan perkerjaan yang jelas. Perkara ini biasa dilakukan oleh suspek yang mana meminta sejumlah wang untuk menerima sesuatu tugasan dengan menjanjikan gaji yang lumayan disebaliknya.

Bagaimanapun, kebiasaannya mangsa yang terjerat akan mengalami kerugian yang besar kerana tidak menerima gaji yang diimpikan. Antara siri penipuan tawaran kerja ini adalah dengan memerlukan anda membelanjakan sejumlah wang untuk sesuatu produk atau pun sertai skim pelaburan dan banyak lagi.

Konklusinya, cara terbaik untuk mengelak penipuan adalah dengan menggunakan sumber dalam talian yang dipercayai untuk mendapatkan pekerjaan yang anda minati. Anda boleh membuat carian menerusi LinkedIn, JobStreet, Maukerja atau Indeed. Anda juga diminta untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menjumpai tawaran perkerjaan palsu di internet.

Sebelum ini, DragonForce juga telah berkongsi cara mengelak daripada menjadi mangsa hacker dan scammer.

DragonForce Kongsi Lima Cara Elak Daripada Menjadi Mangsa Hacker Dan Scammer

Lelaki Ini Ajarkan Cara Kesan Kedai Laptop Scammer Yang Berleluasa Di Instagram