Baru sahaja Samsung melancarkan Galaxy Z Fold4, Xiaomi kini turut melancarkan telefon pintar boleh lipat baharunya yang dinamakan Mix Fold 2. Peranti boleh lipat generasi kedua dari Xiaomi ini dilihat sebagai satu pakej lengkap.

Xiaomi turut memberikan saingan hebat buat Samsung pada kali ini kerana penawaran spesifikasi dan rekaan yang sangat bagus. Mari kita lihat secara terperinci akan penawaran peranti boleh lipat terbaru Xiaomi.

Mix Fold 2

Sumber Gambar: Flipboard

Mix Fold 2 menampilkan paparan AMOLED 6.56-inci 21:9 120Hz dengan perlindungan kaca Gorilla Glass Victus. Paparan dalamannya pula menawarkan paparan OLED LTPO2 8-inci 120Hz dengan kecerahan maksima 1,300 nits. Malah, telefon pintar ini mempunyai ketebalan seperti iPhone 13 Pro Max apabila dibuka.

Dari segi spesifikasinya, telefon pintar boleh lipat Xiaomi ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 bersama-sama RAM 12GB dan pilihan storan sehingga 1TB. Ia juga menyokong Bluetooth 5.2, NFC, Wi-Fi 6E, pengimbas cap jari terbina dalam paparan dan pemancar IR.

Sumber Gambar: Flipboard

Kameranya pula telah ditala oleh Leica dan menjadi peranti Xiaomi pertama yang membawa jenama tersebut selepas siri Xiaomi 12S. Konfigurasi kamera ini merangkumi 50MP untuk utama, 13MP untuk ultra-lebar dan kamera telefoto 8MP dengan zum optikal 2x.

Mix Fold 2 ini juga dimuatkan bateri berkapasiti 4,500mAh untuk telefon pintar ini dengan sokongan pengecasan secara berwayar sehingga 67W. Telefon yang menggunakan antaramuka MIUI Fold 13 yang berasaskan Android ini tidak menyediakan sokongan pengecasan pantas.

Xiaomi Mix Fold 2 dijual pada harga bermula dari CNY8,999 (~RM5,931) untuk pilihan varian 12GB + 256GB dan 12GB+1TB pula dijual pada harga CNY11,699 (~RM7,711). Setakat ini Xiaomi masih belum mengumumkan bilakah telefon pintar boleh lipat ini akan mula ditawarkan kepada pasaran global pula.

Baru-baru ini juga Xiaomi baru sahaja memperkenalkan robot yang mampu berinteraksi dengan manusia yang dinamakan CyberOne.

Xiaomi Perkenalkan CyberOne, Robot Yang Mampu Berinteraksi Dengan Manusia

Elon Musk Dalam Usaha Untuk Perlihatkan Robot Berbentuk Manusia Seawal September Ini