WhatsApp merupakan salah satu perkhidmatan pesanan utama yang digunakan oleh orang ramai di dalam urusan seharian. Namun, sebahagian pengguna menghadapi kesukaran untuk memindahkan simpanan pesanan ke platform yang berbeza iaitu Android dan iOS.

Terbaharu, WABetaInfo dilaporkan sudah menjumpai ciri terbaharu pada kemas kini WhatsApp Beta yang mana ia membenarkan pengguna untuk memindahkan sejarah pesanan WhatsApp dari Android ke iOS. Bagaimanapun, anda hanya boleh berbuat sedemikian menerusi aplikasi Move to iOS daripada pihak Apple.

Sumber Gambar: Wabetainfo

Untuk makluman, sebahagian jenama seperti Samsung dan Pixel sudahpun mempunyai ciri sebegini yang mana dibangunkan oleh pihak pengeluar dan WhatsApp bersama. Perkara ini bakal berubah dengan kemas kini Android 12 yang mana telefon yang disokong boleh membuat pemindahan dengan mudah apabila ciri ini tersedia kelak.

Menerusi tangkap layar WABetaInfo, kita boleh lihat sendiri bagaimana aplikasi ini perlu mendapatkan kebenaran pengguna terlebih dahulu sebelum memulakan proses pemindahan dan hanya boleh dibuat sebaik ia dibenarkan.

Ciri ini sudah pasti dinantikan ramai memandangkan jumlah pengguna peranti di kedua platform tersebut semakin meningkat pada saban hari. Setakat ini, ciri ini masih di fasa pembangunan dan tidak diketahui lagi bilakah bakal diperkenalkan secara rasmi kepada semua.

Sementara itu, anda juga boleh mempelajari cara mudah untuk akses WhatsApp di empat peranti sekaligus.

Cara Mudah Untuk Akses WhatsApp Di 4 Peranti Serentak

Cara Mengelakkan WhatsApp Kena ‘Hack’ Dengan Mudah Menerusi Fungsi Pengesahan 2 Langkah