Mulai dilancarkan pada tahun 2010, Apple iPad diperkenalkan oleh Steve Jobs sebagai sebuah peranti daripada Apple yang mempunyai ciri seakan iPhone dengan skrin yang lebih besar.
Apple iPad ini pada mulanya disasarkan khas buat orang ramai berhibur dengan cara bermain game dan menonton video melalui penawaran skrin yang besar, spesifikasi yang hebat serta ketahanan bateri yang lama.
Trend penggunaan orang ramai terhadap Apple iPad juga dilihat semakin berubah selepas Apple memperkenalkan iPad Mini dan iPhone 11 Pro Max yang mempunyai saiz skrin yang besar dan memadai untuk bermain game. Tidak cukup dengan itu, Apple turut memperkenalkan Apple iPad Pro yang hadir tagline ‘iPad Pro is not a computer’.
Penawaran pelbagai aksesori daripada Apple seperti Apple Smart Keyboard dan Apple Pencil juga sekaligus telah mengubah cara orang ramai menggunakan iPad daripada sekadar berhibur kepada peranti untuk meningkatkan produktiviti berdasarkan mobiliti yang ada padanya.
Sebagai pengguna iPhone dan belum pernah memiliki iPad, saya baru-baru ini berjaya mendapatkan iPad generasi ketujuh yang ditawarkan kini bersama aksesori Apple Smart Keyboard dan Apple Pencil. Berikut merupakan ulasan penuh saya sepanjang hampir dua bulan menggunakan Apple iPad bersama aksesori-aksesori ini.
Skrin
Apple iPad generasi ketujuh yang saya dapat dapatkan hadir dengan saiz skrin beserta paparan 10.2-inci Retina Display. Sejujurnya saya tidak mempunyai masalah dengan paparan Apple iPad.
Ianya terang, jelas dan sangat sesuai sama ada tujuan menonton video mahupun untuk melakukan kerja seharian. Sebuah saiz yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil bagi saya. Ditambah pula dengan fungsi split screen yang tersedia, saya berpeluang menjalankan dua aplikasi secara serentak di iPad tanpa sebarang masalah.
Meskipun tidak mempunyai refresh rate yang tinggi seperti Apple iPad Pro yang hadir dengan harga yang jauh lebih premium, penggunaan iPad generasi ketujuh yang smooth hampir setiap masa sudah cukup bagi saya yang tidak menggunakan iPad untuk bermain game secara serius mahupun menyunting video secara sepenuh masa.
Apa yang membuatkan Apple iPad menarik
Sebagai seorang pengguna Apple iPhone, pastinya saya tertanya-tanya pada awalnya bagaimana Apple iPad bakal memanfaatkan kerja seharian saya sebagai seorang editor atau sekadar sebuah peranti untuk hiburan semata-mata daripada Apple.
Umum tahu, Apple iPhone mampu menjalankan kesemua aplikasi khususnya aplikasi media sosial dengan sudah cukup baik. Walau bagaimanapun, perspektif saya mengenai Apple iPad bersama dua aksesori yang saya dapatkan ini ternyata berubah.
Saya masih lagi selesa untuk menggunakan media sosial di iPhone berbanding di iPad berdasarkan mobiliti serta saiznya yang lebih mudah dipegang. Namun, jika sebelum ini saya perlu membawa komputer riba yang berat bersama pengecas ke mana sahaja yang saya pergi, kini tidak lagi.
Apa yang perlu saya bawa hanyalah Apple iPad serta Apple Smart Keyboard yang melekat pada iPad serta bertindak sebagai pelindung bahagian hadapan skrin iPad. Berbekalkan internet, saya sudah mampu membuat kerja di mana sahaja dengan mudah. Saiznya yang sederhana besar ternyata sangat membantu khsus buat anda yang kerap membaca ebook serta artikel di laman web.
Buat anda yang tidak gemar untuk menonton YouTube atau Netflix di kaca TV yang besar serta mahukan privasi, mendapatkan iPad pastinya memudahkan serta memberi kepuasan menonton buat anda.
Apple Smart Keyboard
Antara perkara yang paling saya teruja saat mendapatkan Apple iPad sudah pastinya mencuba aksesori Apple Pencil dan Apple Smart Keyboard. Benarkah dua aksesori ini membantu meningkatkan produktiviti seperti yang diiklankan?
Saya mulakan dengan menggunakan Apple Smart Keyboard. Aksesori yang hadir dengan harga RM649 ini ternyata sangat mudah untuk dipadankan bersama Apple iPad. Hanya perlu sambungkan Apple Smart Keyboard pada iPad secara magnetic dan aksesori ini sedia untuk digunakan.
Meskipun pengalaman menaip di Apple Smart Keyboard tidak sebaik menaip di komputer riba atau komputer pada awal penggunaan, saiznya yang nipis serta mudah dibawa secara tidak langsung telah membuatkan saya membiasakan diri serta selesa untuk menggunakannya untuk menjalankan kerja seharian.
Rekaannya yang moden dan sleek ternyata sangat mudah untuk anda biasakan menaip menggunakan Apple Smart Keyboard. Sekiranya anda merupakan individu yang kerap menaip sama ada untuk menghasiklan artikel atau kerap chat, mungkin mendapatkan Apple Smart Keyboard dilihat pilihan yang berbaloi.
Apple Pencil
Apple mulai memperkenalkan Apple Pencil pada tahun 2015 dan ketika model generasi kedua mulai ditawarkan buat sebahagian besar model keluaran Apple.
Hadir dengan harga RM549, pastinya saya agak skeptikal apakah yang membuatkan model ini sangat istimewa sehingga hadir dengan harga yang premium.
Sepanjang penggunaan, saya dapati Apple Pencil yang hadir dengan rekabentuk yang minimalis ini ternyata sangat selesa untuk digunakan. Malah, beberapa reviewer turut menobatkan Apple Pencil merupakan stylus terbaik untuk digunakan pada Apple iPad berbanding beberapa stylus lain yang berada di pasaran.
Saya turut cuba melukis serta mencatat nota menggunakan Apple Pencil dan hasilnya amat memuaskan bagi saya. Dalam erti kata lain, penggunaan Apple Pencil serta aplikasi yang menyokongnya sekaligus membuatkan pengalaman melukis dan menulis menjadi lebih mudah.
Selain itu, penggunaan Apple Pencil turut memudahkan anda untuk melabelkan sesuatu baik daripada gambar di internet mahupun gambar yang diambil menggunakan iPad. Menarik bukan?
Dalam pada itu, saya berpendapat Apple Pencil bukanlah aksesori wajib atau perlu dimiliki buat setiap pengguna iPad. Sekiranya anda sudah cukup selesa menaip menggunakan iPad atau Apple Smart Keyboard serta tidak menggunakan iPad bagi tujuan melukis, Apple Pencil nampaknya bukan keperluan buat anda.
Adakah iPad bersama Apple Smart Keyboard dan Pencil berbaloi dimiliki?
Sepanjang kurang lebih dua bulan menggunakan Apple iPad bersama dua aksesori ini jujur saya katakan dua aksesori ini jelas memudahkan kehidupan seharian. Meskipun agak kekok dan mengambil masa untuk selesa menggunakannya, penggunaan dua aksesori ini nyata lebih diperlukan daripada apa yang saya bayangkan.
Berdasarkan harga iPad yang ditawarkan iaitu RM1,449 tidak termasuk aksesori beserta dengan cara penggunaan saya jelas saya katakan harga premium yang ditawarkan ternyata berbaloi untuk dimiliki sekiranya anda bercadang untuk menggunakan iPad dalam sebuah tempoh yang lama.
Mengetahui Apple yang menawarkan kemas kini kepada iPad sehingga lima tahun, pada saya mendapatkan iPad generasi ketujuh bersama dua aksesori ini merupakan pilihan yang berbaloi untuk didapatkan mengikut keperluan anda.
Buat anda yang mahukan prestasi yang lebih hebat daripada iPad, anda boleh dapatkan iPad Pro generasi terbaru yang mulai ditawarkan dengan harga RM3,449. Model ini disasarkan buat heavy user khususnya buat mereka yang kerap menyunting video.
Ketahui juga ulasan penuh mengenai iPhone 11 yang dinobatkan sebagai peranti Apple paling berbaloi untuk dimiliki ketika ini.
https://www.thevocket.com/ulasan-iphone-11-peranti-apple-paling-berbaloi-untuk-dimiliki-ketika-ini/
https://www.thevocket.com/lihat-masjid-rm100-juta-sri-sendayan-seremban-yang-diambil-dengan-iphone-11-pro/?utm_source=oembed&utm_medium=web&utm_campaign=20200411