Sudah menjadi lumrah buat semua orang mendambakan kerja dari rumah dengan bayaran gaji lumayan. Kecoh baru-baru ini di Twitter di mana terdapat pautan tawaran kerja dari rumah yang ditawarkan oleh sebuah portal carian kerja.

Perkara ini menjadi bualan ramai kerana ia telah dipromosikan oleh sejumlah influencer di Twitter yang menyediakan pautan tersendiri untuk mereka yang berminat untuk mencari kerja dari rumah dengan bayaran USD. Terdapat beberapa isu menjadi kerisauan oleh orang ramai terhadap pautan tersebut.

1. Tiada jaminan syarikat yang dipohon adalah sah atau berdaftar.
pautan tawaran kerja
Sumber Gambar: CNBC

Pautan yang diberikan hanya menjadi platform mengumpulkan sejumlah permohonan untuk sesuatu tawaran kerja dari rumah kemudian diberi kepada syarikat dari serata negara yang berminat untuk menawarkan posisi tersebut.

Jadi, terdapat kemungkinan besar syarikat yang menerima permohonan anda tidak berdaftar atau sah yang wujud di sesuatu negara. Malah, mereka boleh mengambil maklumat lengkap peribadi yang diberikan untuk kegunaan komersial tanpa pengetahuan anda.

2. Influencer hanya mempromosikan pautan tanpa mencubanya.
Sumber Gambar: Twitter

Terdapat beberapa influencer yang mempromosikan pautan affliate tersebut tanpa mengetahui isi kandungannya. Bila ditanyakan soalan berkaitan pautan atau kerja menerusinya, mereka hanya mendiamkan diri tanpa sebarang respon kerana tidak pernah mencuba pautan yang dipromosikan sama sekali.

Malah, sebahagian mereka menjaja cerita tentang keseronokan berkerja dari rumah dengan gaji USD tetapi bukannya testimoni mereka yang sudah berjaya mendapatkan kerja idaman menerusi pautan diberi. Mereka juga dilihat seperti sudah dibayar untuk membuat ciapan berkenaan pautan affliate itu.

3. Data permohonan boleh dikongsikan kepada pihak ketiga.
Sumber Gambar: Learnhowtobecome

Menerusi terma dan syarat yang dikongsikan, sudah diberitahu setiap maklumat yang diberikan pada platform ini bukan sahaja digunakan untuk mencari kerja sahaja, bahkan ia bakal dikongsi bersama pihak ketiga untuk tujuan promosi, pengiklanan dan banyak lagi.

Jadi, peratus tinggi data anda akan diperdagangkan kepada pihak ketiga tanpa menyalahi undang-undang kerana persetujuan sudah diberikan oleh anda sendiri.

Maklumat yang diminta menerusi permohonan juga mungkin merangkumi maklumat sensitif seperti IC, alamat dan banyak lagi yang boleh dijadikan sebagai database kemudian dijual kepada sejumlah pihak yang berminat di luar sana.

Jika dilihat sebenarnya banyak perkara yang mencurigakan menerusi pautan affliate yang dipromosikan secara meluas di platform Twitter baru-baru ini. Pautan ini dilihat seperti untuk memancing pemohon untuk berkongsi maklumat peribadi semata-mata yang kemudian akan digunakan untuk tujuan komersial sahaja.

Keselamatan data peribadi merupakan tanggungjawab setiap orang untuk melindungi data mereka daripada diakses oleh pihak luar. Sekiranya anda menerima pautan yang mencurigakan, buat semakan kesahihan terlebih dahulu agar tidak menyesal di kemudian hari.

Sumber