Baru sahaja dilancarkan minggu lepas, Tetris 99 berpotensi untuk menjadi medan pertempuran buat peminat permainan video klasik seperti Tetris. Permainan video klasik ini tetap hadir dengan cara permainan yang sama tetapi kali ini disertakan dengan sedikit ‘twist’ untuk mengakhiri permainan.
Pemain dikehendaki untuk menyusun blok seperti biasa bersama 98 pemain lain dan perlu bertahan hingga ke peringkat akhir untuk dinobatkan sebagai pemenang. Apa yang menjadi kelainan Tetris 99 ini ialah pemain boleh ‘menyerang’ pemain lain menggunakan blok yang tidak digunakan. Pemain boleh mengetahui siapa yang ‘menyerang’ susunan blok melalui garisan kuning dari slot penyerang di sekitar pemain.
Blok yang tidak digunakan bukan sahaja boleh digunakan sebagai ‘senjata’ tetapi juga boleh dihantar sebagai bantuan kepada pemain lain yang memerlukan. Tetris 99 boleh dimuat turun secara percuma sekarang di laman web Nintendo.