Syarikat telekomunikasi Malaysia pada saban tahun mengutip keuntungan berbilion ringgit dengan menawarkan pelan internet kepada pengguna tempatan. Akan tetapi, kualiti perkhidmatan masih belum menandingi negara jiran lain yang jauh lebih baik dari segi kelajuan mahupun liputan internet mereka.

Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak berbangga dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau telco yang mencatat keuntungan RM1 bilion namun masih menyediakan perkhidmatan tidak memuaskan untuk rakyat.

Beliau juga menegaskan bahawa syarikat telekomunikasi seharusnya perlu bertanggungjawab dengan melabur sebahagian keuntungan yang diperolehi untuk teknologi untuk meningkatkan kualiti capaian internet yang mereka sediakan. Hal ini juga selari dengan pembangunan infrastruktur dilaksana kerajaan.

Sebagai contoh, liputan 4G di Sabah sudah pun mencapai tahap 86% tetapi kualiti internet di sesetengah kawasan masih tidak mencapai kelajuan yang dikehendaki. Menerusi rangkaian 4G sahaja sudah mempunyai pelbagai kadar kelajuan di mana ada yang mencecah 20 Mbps tetapi kualiti minimum purata 4G LTE mestilah mencapai 35 Mbps.

Tan Sri Annuar Musa juga meminta supaya syarikat telekomunikasi menaik taraf  perkakasan telekomunikasi di menara yang mana boleh meningkatkan lagi keupayaan internet yang lebih tinggi kepada pengguna di sekitarnya. Di samping itu, syarikat telekomunikasi perlu mengambil berat dari segi komponen bekalan elektrik sandaran.

Sebelum ini juga, kerajaan telah menyasarkan liputan 5G mencecah  80% dalam beberapa tahun lagi di Malaysia.

Akui Pelaksanaan 5G Agak Ketinggalan, Kerajaan Sasarkan Liputan 80% Dalam Beberapa Tahun Lagi

Pencawang Telefon Selular Akan Ditambah Lebih Banyak Terutamanya Di Kota Tinggi