Arena NFT tempatan menunjukkan perkembangan yang baik lebih-lebih lagi apabila terdapat acara festival NFT khas yang bakal diadakan pada bulan Jun kelak buat julung kalinya di Malaysia. Malah, komuniti NFT dan artis-artis tempatan juga kini sangat aktif dengan penglibatan di platform dagangan seperti Pentas dan banyak lagi.

Terbaharu, terdapat sebuah lagi projek NFT tempatan yang menarik untuk diterokai iaitu Skulls The Funky Undead atau nama pendeknya STFU. Koleksi NFT STFU ini mengandungi 6,666 karya yang boleh dimiliki bersama kelebihan unik menerusinya. Setiap karya ini membawakan imej tengkorak dengan personaliti yang berlainan padanya.

Sumber Gambar: Skull The Funky Undead

Apa yang menarik mengenai koleksi STFU ini adalah kelebihan utiliti akses eksklusif di dalam dunia sebenar. Menerusinya, anda boleh menikmati pengalaman untuk lebih dekat bersama alam semula jadi serta menghayati seni dan budaya di beberapa resort yang cukup indah terletak di Langkawi.

Anda bakal mendapat akses ke tiga resort terpilih di pulau tropikal indah itu seperti The Bon Ton, The Daun dan La Pari-Pari. Pas eksklusif ini sah digunakan selama setahun selepas karya ditoken dan melayakkan setiap pemegang NFT untuk menerima diskaun sebanyak 10%.

Sumber Gambar: Langkawi Travel
Sumber Gambar: Jelajah Malaya

Di samping itu, mereka akan menambah lebih banyak lokasi penginapan menarik terutamanya di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja, setiap pemilik berpeluang menerima karya misteri bersama utiliti di dunia sebenar tambahan menerusi drop malahan menyertai acara eksklusif di lokasi menarik dan banyak lagi.

Setiap karya STFU bakal dijual pada harga 0.069 ETH bersamaan RM936.56 mengikut kadar pertukaran semasa. Penawaran harga ini akan kekal sama ada di dalam pra-jualan mahu pun secara umum kelak. Difahamkan jika anda mendapatkan lebih banyak karya maka anda berpeluang menginap secara percuma di resort berkenaan.

Selain memiliki NFT tersebut, anda juga boleh menjual di pasaran sekunder dan boleh menggunakan sebahagian karya khusus bagi tujuan komersial. Projek NFT ini menyasarkan untuk mahu menaik taraf kualiti kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik kerana sebahagian penjualan NFT bakal disalurkan kepada NGO yang berkaitan.

Untuk anda yang berminat untuk ketahui lebih lanjut mengenai STFU dan kemas kini informasi projek NFT ini, anda boleh kunjungi laman web STFU atau ikuti akaun Twitter mereka. Pihak STFU bakal mengemas kini informasi dari semasa ke semasa serta tarikh jualan yang akan berlangsung pada bulan ini.

Sebelum ini juga, MyEG baru sahaja perkenalkan sebuah laman dagangan NFT untuk penjualan karya seni di peringkat global.

MyEG Perkenalkan Laman Dagangan NFT Untuk Penjualan Karya Seni Di Peringkat Global

Berjaya Raih RM58,604 Hasil Jualan, Karya Ujang Antara Yang Terlaris Di Platform Pentas

Sumber