Apple sering mendakwa peranti iPhone yang dihasilkan sangat kukuh dan tahan lasak untuk beberapa senario ekstrem. Kenyataan tersebut bagaimanapun masih menjadi persoalan sama ada ia benar-benar kukuh atau hanya sebagai marketing sahaja.
Menerusi sebuah hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook baru-baru ini, beliau meluahkan keterujaan melihat bagaimana iPhone 12 Pro Max yang dimiliki masih boleh berfungsi walaupun digelek oleh traktor. Malah, gambar-gambar yang dikongsikan juga dapat dilihat iPhone tersebut masih hidup seperti biasa.
Pada mulanya, beliau juga meragui dengan kenyataan Apple yang mengatakan kaca pada iPhone 12 Pro Max adalah 10 kali ganda lebih kukuh berbanding model sebelum ini. Namun begitu, beliau menjadi semakin yakin dengan kenyataan itu selepas iPhone miliknya telah digelek oleh traktor tetapi masih berfungsi.
Hantaran ini menjadi bualan hangat dan telah meraih jumlah perkongsian mencecah lebih 18,000. Ramai pengguna memberikan maklum balas yang mana mereka teruja dengan kebolehan peranti iPhone yang mampu menahan impak sebegitu berat.
Dengan kehadiran cerita ini juga sekaligus memberikan promosi yang baik buat Apple secara percuma di peringkat global. Apple sudah pasti menyambut baik berita ini lebih-lebih lagi dapat membuktikan kekukuhan produknya di dalam situasi sebenar.