Kemajuan teknologi hari ini berupaya mencipta pengangkutan yang dikendalikan secara automatik tanpa perlu pemandu lagi. Perkara ini telah menjadi perhatian pelbagai negara dalam menuju ke arah yang lebih mesra alam serta memudahkan pengguna bergerak ke sesebuah lokasi tanpa bergantung kepada kereta semata-mata.

Menerusi kajian terbaharu yang dijalankan oleh perunding pengurusan Roland Berger, pihak mereka telah mendedahkan bahawa Singapura berada di tempat keempat sebagai negara paling bersedia di dunia dalam melaksanakan dan menerima mobiliti swapandu. Malah, Singapura turut dicalonkan secara konsisten sejak dari tahun 2017 lagi dalam carta tersebut.

Sumber Gambar: The Straits Times

Di samping itu, pihak Roland berpendapat bahawa Singapura berkemungkinan besar menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang mula melancarkan pengangkutan tanpa pemandu secara besar-besaran di dalam pelbagai sektor. Perkara ini dikuatkan lagi dengan pengumuman percubaan pengangkutan tanpa pemandu di kem ketenteraan Singapura baru-baru ini.

Antara sebab mengapa Singapura bakal memacu pengangkutan swapandu di dalam skala besar pada masa kelak oleh kerana kini terdapat sejumlah rakyatnya yang lebih selesa menggunakan pengangkutan awam selain kereta mereka sendiri serta mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan yang boleh digunakan untuk bergerak ke sekitar bandar.

Sumber Gambar: Today Online

Malah, sebelum berlakunya pandemik lagi hanya sekitar 20% sahaja daripada sebahagian rakyat Singapura yang berminat untuk bergerak menggunakan kenderaan sendiri sementara selebihnya masih menggunakan pengangkutan awam ataupun e-hailing sahaja. Oleh itu, Singapura dilihat lebih teruja untuk menggunakan pengangkutan tanpa pemandu berbanding di Eropah.

Berdasarkan tinjauan lain yang dilakukan oleh Roland juga, penduduk di negara Singapura, Thailand dan Indonesia sangat berminat untuk memiliki kereta swapandu di atas jalan raya secara meluas. Lebih daripada 30% responden yang optimistik mengenai kereta tanpa pemandu boleh beroperasi menjelang 2030 kelak.

Sumber Gambar: Gigabyte

Malaysia juga nampaknya tidak ketinggalan dalam menawarkan pengangkutan swapandu kepada pengguna dengan kelulusan laluan percubaan kenderaan autonomi pertama pada tahun lalu. Bahkan di Johor sahaja, mereka juga bakal mempunyai bas berpandu tanpa rel yang dibangunkan pada awal Januari 2021.

Selain itu, syarikat gergasi seperti Apple juga mahu turut serta dengan memperkenalkan kereta elektrik dengan sistem swapandu sepenuhnya seawal 2025.

Apple Dijangka Memperkenalkan Kereta Elektrik Dengan Sistem Swapandu Seawal Tahun 2025

Xiaomi Mengambil Alih Sebuah Syarikat Teknologi Swapandu Untuk Penghasilan Kereta Sendiri

Sumber