Ianya satu tamparan yang hebat buat Huawei apabila mereka kini berdepan sekatan dagangan oleh Amerika Syarikat yang menyebabkan Huawei akan hilang akses untuk menggunakan perisian Android dan Google serta merta.

Huawei Technologies bersama 70 syarikat yang mempunyai kaitan dengan Huawei telah disenaraihitamkan oleh pentadbiran Donald Trump. Kini, Huawei tidak lagi boleh membuat sebarang urus niaga dengan mana-mana syarikat di Amerika Syarikat tanpa kebenaran kerajaan Amerika Syarikat.

Berikutan keputusan itu, wakil daripada Google mengeluarkan kenyataan yang mereka perlu mengikut arahan yang dikeluarkan. Pada ketika ini, model Huawei sedia ada boleh terus menggunakan aplikasi Google Play dan sistem Android.

“Buat masa ini, pengguna sedia ada Google Play dan boleh terus menggunakan segala fungsi yang ada pada peranti Huawei mereka,” menurut kenyataan daripada Google.

Kenyataan tambahan ini dibuat selepas Google mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat itu akan menggantung bisnes dengan syarikat China itu yang pada ketika ini merupakan pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia di belakang Samsung.

Ini bermakna, model akan datang daripada Huawei tidak lagi akan mempunyai akses untuk servis Google termasuklah Google Play Store, Gmail dan juga YouTube.

Huawei bagaimanapun berkata mereka sudah bersedia sejak setahun yang lalu jika berdepan dengan perkara seperti ini. Pelan alternatif Huawei adalah mereka sudah menghasilkan operation system (OS) versi mereka sendiri yang akan digunapakai oleh telefon pintar serta komputer keluaran mereka yang akan datang.

Adakah OS terbaru Huawei ini akan lebih bagus daripada Android? Tetapi jika ianya tidak boleh mengakses perkara penting untuk kegunaan harian pengguna, maka pasti ramai yang akan berpindah ke jenama telefon yang lain di masa akan datang.

Sumber