Antara model Apple iPhone yang hangat dipra-tempah di serata dunia pada ketika ini adalah iPhone 14 Pro Max. Di Malaysia sahaja, model ini sudah habis dipra-tempah oleh pengguna tempatan menerusi laman rasmi Apple mahupun penjual rasmi mereka.
Model iPhone 14 Pro Max juga sangatlah popular di China yang mana menjadi rebutan oleh pengguna di sana. Walaupun baru sahaja dijual secara rasmi di negara itu, sudah tular gambar seorang scalper di sana yang menjual model iPhone tersebut dengan jumlah yang besar di dalam beg bagasi di hadapan Apple Store rasmi.
Berdasarkan pemerhatian pada gambar tersebut, terdapat kira-kira 30 unit iPhone yang memenuhi ruangan beg bagasi tersebut. Model versi Pro termurah yang boleh didapatkan pada harga sekitar $1,155 (~RM5,238.50) dan boleh melebihi RM8,000 sekiranya memilih ruang storan terbesar.
Bagaimanapun, scalper ini telah meningkatkan harga mencecah RM2,721.30 untuk setiap unit yang ditawarkan itu. Jadi, harga sesebuah iPhone 14 Pro Max dengan pilihan 1TB boleh cecah melebihi RM10,000. Dengan harga seumpama itu jika di Malaysia sudah boleh memiliki sebuah motor baharu.
Perkara ini juga sebenarnya berlaku di Malaysia yang mana sudah ada pun sesetengah individu yang menawarkan iPhone 14 Pro Max 256GB dengan harga setinggi RM7,999. Secara dasarnya, adakah anda sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar semata-mata hanya untuk menjadi pemilik terawal?