Mulai dilancarkan pada bulan lalu, kehadiran dua model unik daripada Samsung iaitu Galaxy Z Fold3 5G dan Samsung Galaxy Z Flip3 5G sememangnya dinantikan pengguna. Rekaannya yang unik beserta spesifikasi yang hebat membuatkan model ini menjadi para peminat.

Kami juga antara yang tidak melepaskan peluang untuk mencuba model Samsung Galaxy Z Flip3 5G dalam mengetahui sejauh manakah model ini sesuai digunakan untuk kegunaan harian sekaligus membuatkan orang ramai beralih kepada telefon pintar dengan rekaan unik ini. Berikut merupakan review penuh kami mengenai model penuh gaya daripada Samsung ini.

Rekaan

Kami mulakan review kami dengan membincangkan rekaan Samsung Galaxy Z Flip3 5G. Malah, tidak sah rasanya jika tidak membicangkan rekaan model yang unik ini.

Untuk pengetahuan, Samsung Galaxy Z Flip3 5G hadir dengan pembukaan daripada bawah ke atas manakala Samsung Galaxy Z Fold3 5G dibuka daripada tepi.

Model ini hadir dengan empat pilihan warna iaitu  iaitu Phantom Black, Cream, Green dan Lavender. Model yang berada di tangan kami ini merupakan Phantom Black manakala anda yang mahukan model dengan warna yang lebih feminin warna Lavender antara yang dicadangkan.

Sejujurnya, pada awal percubaan membuka dan menutup model ini, kami agak skeptikal dengan fungsi yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, Samsung berjaya menawarkan yang terbaik pada model ini di mana proses membuka dan menutup model ini dirasakan agak kukuh dan kemas.

Dalam erti kata lain, tidak mudah buat anda untuk membuka model ini secara penuh dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Saiznya yang kompak sememangnya sangat selesa untuk dipegang dan dimasukkan dalam poket.

Skrin

Model ini hadir dengan skrin utama 6.7-inci beserta paparan Dynamic AMOLED 2X. Penawaran skrin dan paparan yang ditawarkan Samsung sememangnya tidak dinafikan sangat cantik dan memukau beserta sokongan refresh rate sehingga 120Hz membuatkan penggunaan model ini sangat smooth dan menarik.

Meskipun mempunyai saiz skrin yang besar, model ini hadir dengan screen ratio 22:9 sekaligus membuatkan skrin ini sekadar memanjang dan tidak terlalu lebar. Hal ini membuatkan model ini berjaya tampil dengan saiz yang boleh dikatakan slim berdasarkan saiz skrin serta spesifikasi yang ditawarkan.

Pada bahagian luaran, model ini turut hadir dengan sebuah lagi skrin kecil 1.9-inci SAMOLED. Skrin ini sememangnya sangat membantu pengguna dalam menyemak notifikasi, masa, keadaan cuaca dan pelbagai lagi mengikut tetapan yang dipilih pengguna. Oh ya, pengguna juga turut berpeluang memilih wallpaper pilihan untuk disertakan pada skrin bahagian luaran ini.

Spesifikasi

Berbeza dengan telefon pintar keluaran siri Galaxy S daripada Samsung, model ini disertakan dengan processor Snapdragon 888 berbanding penggunaan Samsung Exynos.

Pengguna bakal merasakan pengalaman yang lancar dan pantas sepanjang menggunakan model ini menerusi penawaran 8GB RAM beserta ruang storan yang hadir dengan dua pilihan iaitu 128GB dan 256GB. Bermain game atau membuka aplikasi yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi sememangnya bukan masalah buat model ini.

Kamera

Mengulas dari segi kamera, model ini masih lagi menggunakan sistem kamera yang sama seperti model Samsung Galaxy Z Flip 5G. Dua sensor 12-megapixel dengan lensa lebar dan ultra lebar antara yang ditawarkan pada kamera utama manakala kamera hadapan hadir dengan sensor 10-megapixel.

Berdasar percubaan, model ini masih mampu mendapat imej yang baik namun tidak dapat menandingi kualiti kamera yang tersedia pada Samsung Galaxy S21 Ultra.

Dalam pada itu, untuk kegunaan secara kasual kualiti yang tersedia pada model ini sudah baik baik daripada kamera utama mahupun hadapan. Berikut merupakan gambar yang diambil menggunakan model ini.

Diambil menggunakan kamera hadapan Samsung Galaxy Z Flip3 5G
Diambil menggunakan kamera luaran Samsung Galaxy Z Flip3 5G

Sebuah percubaan yang baik daripada Samsung dalam memudahkan pengguna swafoto tanpa perlu membuka model boleh lipat mereka untuk mendapatkan gambar. Imej berbentuk segi empat sama antara yang akan terhasil menerusi gambar yang diambil menggunakan kamera luaran pada skrin kecil yang tertera.

Pengalaman penggunaan

Tidak hanya hadir dengan sekadar gimik yang boleh dilipat, percubaan Samsung untuk terus menghasilkan peranti boleh lipat dilihat sebagai percubaan yang berani.

Menerusi model Flip3 5G, anda dimudahkan dengan penawaran skrin yang sangat membantu khususnya dalam menyemak notifikasi. Semakan waktu atau jumlah peratusan bateri juga boleh dibuat menerusi skrin kecil pada bahagian luar sahaja.

Selain memudahkan pengguna menerusi fungsi multitasking dalam membuka dua aplikasi secara serentak, model ini turut menyokong sebuah lagi fungsi yang canggih di mana model ini dapat digunakan secara cursor untuk melihat gambar pada bahagian separuh atas skrin.

Adakah berbaloi?

Samsung Galaxy Flip3 5G pula ditawarkan pada harga RM3,999 untuk 8/128GB dan  RM4,199 untuk 8/256GB. Berdasarkan model telefon pintar flagship yang ditawarkan Samsung sebelum-sebelum ini, jelas Samsung Galaxy Z Flip3 5G hadir dengan harga yang sedikit rendah.

Syabas sekali lagi buat Samsung kerana berjaya menawarkan sebuah telefon pintar yang hadir dengan rekaan yang unik beserta spesifikasi yang hebat.

Model ini dikhususkan buat pengguna yang mahu mencuba sesuatu yang baharu pada telefon pintar Android. Pengguna pastinya akan merasai pengalaman penggunaan yang berbeza baik dari segi cara penyimpanan, penjagaan dan juga fungsi yang tersedia.

Rekaannya yang memukau pastinya membuatkan model ini menjadi perhatian ramai lebih-lebih lagi sewaktu dibuka dan ditutup. Penyertaan skrin pada bahagian luaran sememangnya sangat membantu manakala saiz yang kecil sangat membantu dalam penyimpanan.

Sekiranya anda sudah bosan dengan rekaan telefon pintar masa kini, mendapatkan Samsung Galaxy Flip3 5G merupakan pilihan yang berbaloi. Kami yakin anda pastinya tidak lagi kekok selepas menggunakan model ini selepas beberapa hari.

Ikuti juga review penuh kami mengenai Samsung Galaxy S21 Ultra yang merupakan antara telefon pintar terbaik di sehingga kini.

https://www.thevocket.com/samsung-galaxy-s21-ultra/

Samsung Malaysia Tawarkan Galaxy Z Flip3 Secara Rasmi Pada Harga RM3,999