Sebut mengenai Samsung, pasti ramai yang cukup tahu di mana jenama ini cukup aktif dalam mengeluarkan telefon pintar. Tidak hanya memfokuskan kepada telefon pintar flagship, Samsung turut mengeluarkan model low-end bagi memenuhi kehendak pengguna yang memerlukannya.

Terbaharu, Samsung telah melancarkan model Galaxy A03s selaku model low-end daripada siri Galaxy. Hadir dengan harga mampu milik, model ini dilengkapi dengan spesifikasi yang baik untuk pengguna yang tidak mahu berbelanja besar dalam mendapatkan sesebuah telefon pintar.

Rekaan dan skrin

Dari segi rekaan dan skrin, model ini hadir dengan panel plastik pada bahagian belakang serta dilengkapi dengan skrin Infinity-V. Saiz skrin pada model ini adalah 6.5-inci serta menggunakan paparan IPS LCD.

Berdasarkan penggunaan, model ini masih lagi mampu menghasilkan paparan yang baik meskipun menggunakan paparan LCD sahaja. Warna yang jelas dan terang antara yang dapat dilihat pada model ini.

Spesifikasi

Mengulas mengenai spesifikasi, model ini menggunakan cip Mediatek Helio P35. Sokongan memori sehingga 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 64GB antara yang tersedia. Storan dalaman tersebut boleh ditambah sehingga 1TB menerusi ruang kad mikro SD.

Prestasi yang ditawarkan mungkin agak perlahan buat mereka yang sudah terbiasa menggunakan model flagship, namun cukup memadai mengetahui model ini merupakan model low-end.

Menariknya, para pengguna turut dibekalkan dengan pengecasan 15W bersama telefon pintar. Bateri bagi model ini pula adalah sebesar 5,000 mAh dalam membantu model ini digunakan untuk seharian penuh. Dari segi sistem operasi pula, bakal hadir dengan Android 11 berserta pelancar One UI 3.1 Core

Kamera

Kamera utama hadir dengan 13MP sudut lebar dan 2MP makro. Ditambah dengan kamera selfie sebesar 5MP yang diletakkan pada notch kecil di bahagian hadapan. Pengimbas jari turut disertakan pada butang kuasa belah kanan peranti.

Kualiti yang ditawarkan sekadar sederhana sahaja. Pengguna mungkin mengalami sedikit masalah sekiranya mengambil imej pada waktu kekurangan cahaya. Selain daripada itu, model yang dilengkapi dengan fungsi zoom 2x ini mampu menawarkan kualiti gambar yang baik.

Harga

Samsung Galaxy A03s hadir dengan harga serendah RM559. Sebuah harga yang kompetitif melihatkan kepada pelbagai pesaing yang turut menawarkan telefon pintar pada harga sedemikian.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda selesa dengan telefon pintar keluaran Samsung serta tidak mahu berbelanja besar dalam mendapatkan model dengan kapasiti bateri yang besar, Samsung Galaxy A03s antara yang boleh dijadikan pilihan.

Ikuti juga review penuh daripada kami bagi model yang penuh dengan inovasi iaitu Samsung Galaxy Z Flip3 5G yang turut hadir dengan harga berbaloi.

Samsung Galaxy Z Flip3 5G, Telefon Pintar Boleh Lipat Unik Dengan Harga Berbaloi

Samsung Galaxy A32, Telefon Pintar Mampu Milik Melengkapi Kesemua Ciri Asas Pengguna