Walaupun sudah ramai yang menerima vaksinasi di seluruh dunia, masing-masing masih mempraktikkan langkah berjaga-jaga bagi memutuskan rangkaian wabak COVID-19 di tempat awam. Hal ini termasuklah dengan pemakaian pelitup muka dan membuat ujian kendiri untuk mengesan jangkitan apabila menyedari terdapat gejala simptom pada diri.

Terbaharu, sebuah kumpulan saintis di Universiti Prefektur Kyoto yang diketuai oleh Presidennya Yasuhiro Tsukamoto telah membangunkan pelitup muka yang membolehkan pengguna menguji sama ada mereka telah dijangkiti virus tersebut dengan mudah dan kos efektif.

Sumber Gambar: Japan Times Co

Pada Februari 2020 yang lalu, pasukan ini telah menyuntik virus COVID-19 yang tidak aktif dan pasif ke dalam burung unta betina dan mengekstrak antibodi daripada telur yang mereka letakkan. Antibodi tersebut kemudiannya dicampurkan ke dalam pewarna pendarfluor.

Apabila pewarna tersebut disembur pada penapis pelitup muka khas yang dibangunkan, fabrik itu akan bersinar dengan warna hijau untuk menunjukkan kehadiran pendedahan virus COVID-19. Pasukan ini juga telah menjalankan eksperimen peringkat awal dengan jumlah peserta seramai 32 orang yang dijangkiti oleh COVID-19.

Sumber Gambar: Hypebeast

Hasil dapatan menunjukkan kesemua topeng yang dipakai oleh mereka bersinar di bawah cahaya UV dan menjadi pudar dari semasa ke semasa apabila potensi virus berkurangan. Malah, Presiden Tsukamoto sendiri mendapati beliau positif COVID-19 selepas memakai salah satu pelitup muka eksperimen dan dapat disahkan dengan ujian PCR.

Pasukan ini berhasrat untuk mengembangkan saiz sampel eksperimen kepada 150 peserta dan menyasarkan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan untuk menjual pelitup muka tersebut menjelang tahun depan. Bahkan, mereka juga mahu menjadikan ia sebagai kit ujian mudah yang boleh digunakan oleh orang ramai kelak.

Sebelum ini, saintis China juga sedang membangunkan baju dengan poket yang mampu mengecas telefon pintar sewaktu dipakai.

Saintis China Hasilkan Baju Dengan Poket Yang Mampu Mengecas Telefon Pintar

Sony Kongsi Inovasi Baju Dengan ‘Aircond’ Saiz Poket