Penghasilan teknologi yang kian pesat pada hari ini berjaya menghasilkan pelbagai keputusan yang luar biasa buat kemajuan manusia. Kini pengguna bukan hanya dapat menikmati pelbagai teknologi yang boleh memudahkan aktiviti seharian sahaja, bahkan teknologi interaksi secara maya bersama objek realiti juga sedang diterokai oleh para cendekiawan.

Terbaharu, Reuters melaporkan terdapat seorang profesor di Jepun sudah membangunkan sebuah skrin prototaip yang boleh menghasilkan rasa makanan apabila dijilat oleh manusia. Hal ini membolehkan penonton merasai sesuatu makanan seperti di dunia sebenar.

Sumber Gambar: Reuters

Inovasi baharu ini digelar sebagai Taste the TV(TTTV) di mana ia menyertakan sebanyak 10 tin perasa berbeza pada bahagian atas skrin dan selepas itu akan menyemburkan campuran tersebut berdasarkan kepada rasa sesuatu makanan yang dipilih menerusinya.

Campuran perasa berkenaan kemudian akan disemburkan pada lapisan filem yang bersih di atas skrin TV rata untuk dijilat oleh penonton. Menariknya, lapisan filem tersebut boleh diganti bagi memastikan kebersihan pada tahap yang optimum sewaktu penggunaan.

Sumber Gambar: Reuters

Penciptanya, Meiji Homei Miyashita memamklumkan bahawa matlamat penghasilan prototaip ini adalah untuk membolehkan orang ramai alami pengalaman seperti makan di restoran sebenar walaupun berada di rumah masing-masing. Orang ramai sekaligus boleh berinteraksi dan mencuba pengalaman yang berbeza menerusinya.

Protaip versi komersial bakal menelan kos sekurang-kurangnya $875 (~RM3,675) bagi setiap unit. Mereka juga sedang giat meneroka pelbagai peranti untuk menambah nikmat rasa yang lebih sedap selepas ini. Selain merasai makanan, ia juga boleh digunakan untuk mencuba sesuatu resipi atau membuat kuiz dan sebagainya.

Sebelum ini juga, saintis Jepun juga sudah menghasilkan pelitup muka yang bercahaya yang boleh dijadikan sebagai kit ujian mudah COVID-19.

Saintis Jepun Hasilkan Pelitup Muka Yang Bercahaya Apabila Terdedah Kepada COVID-19

Pergerakan Kes COVID-19 Di Korea Selatan Bakal Dijejaki Dengan Sistem Pengecaman Muka AI