Sejak kebelakangan ini, semakin banyak pula laporan kes berkaitan kehilangan wang secara tiba-tiba di dalam bank. Penjenayah dilihat lebih kreatif untuk memancing mangsa menerusi beberapa kaedah termasuklah panggilan dan sebagainya.

Menerusi laporan terkini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah mengesan modus operandi baharu yang digunakan kumpulan penipu untuk menyedut wang mangsa sehingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit setakat ini.

Sumber Gambar: Starts at 60

Difahamkan modus operandi berjaya dikesan selepas berjaya memberkas lima individu berusia menahan lima individu berusia 17 hingga 21 tahun pada 24 Ogos lalu yang dipercayai anggota sindiket penipuan berkenaan.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menerangkan modus operandi secara terperinci yang mana suspek akan mencipta akaun palsu lalu akan berkenalan dengan individu yang menjadi sasaran mereka.

Sumber Gambar: Gadget Hacks

Mangsa yang ingin berkenalan lebih rapat akan ditawarkan melihat gambar dan video mereka menerusi aplikasi lain yang akan dihantar melalui fail APK. Menurutnya, mangsa juga diminta untuk membuat pembelian ‘token’ sebelum boleh mengakses aplikasi berkenaan.

Aplikasi yang dimuat turun akan mengakibatkan berlaku transaksi pengeluaran wang daripada akaun mangsa. Perkara ini boleh berlaku kerana aplikasi yang dipasang akan meminta akses kepada ciri sensitif seperti SMS untuk kod pengesahan OTP.

Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta kaitan antara sindiket terbabit dengan lain-lain kes penipuan sama yang masih dalam siasatan.

Beliau juga meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan seperti tidak memuat turun fail APK dihantar individu tidak dikenali. Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat dan nasihat lanjut, menghubungi CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559 atau 03-26101599.