Platform audio sosial telah menjadi satu fenomena yang hangat di seluruh dunia sekitar tahun lalu. Menerusi platform ini, para pengguna berpeluang untuk berinteraksi dan berbincang bersama-sama dalam pelbagai topik yang menarik mengikut pilihan citarasa individu.

Clubhouse merupakan pelopor yang menjayakan platform sosial berasaskan panggilan digital yang menjadi pilihan anak muda. Selepas itu, platform Twitter juga menawarkan fungsi sepertinya menerusi pengenalan Spaces. Pada kali ini kami akan kongsikan perbezaan platform audio sosial antara Clubhouse dan Twitter Spaces yang kini menjadi ikutan pesaing lain.

Clubhouse

Sumber Gambar: Clubhouse

Platfrom Clubhouse kini sudah boleh disertai oleh semua pengguna mahupun daripada Android atau iOS tanpa perlu jemputan lagi seperti sebelum ini. Para pengguna dibenarkan untuk mengambil bahagian sejumlah ruang sembang yang membincangkan pelbagai topik dan membuat ruang sembang mereka sendiri berdasarkan minat masing-masing.

Selain daripada menyertai ruang sembang yang diminati, anda juga boleh meneroka lebih banyak kategori ruang sembang di kalangan pengguna lain di mana secara tidak langsung anda dapat pelajari suatu perkara yang baharu. Aplikasi ini masih terhad kepada peranti telefon pintar sahaja setakat ini.

Sumber Gambar: Clubhouse

Dari segi interaksi antara pengguna pula, Clubhouse hanya memberikan autoriti kepada mereka yang telah dipilih menjadi ahli panel untuk bercakap sementara yang lain perlu meminta izin untuk bersuara sewaktu perbincangan berlangsung.

Paparan setiap ruang sembang yang aktif dapat memudahkan lagi pengguna mebuat pilihan dan menyertai sebarang topik perbincangan.

Pengguna juga boleh meninggalkan ruang sembang dan memanggil pengguna lain untuk menyertai sesi perbincangan yang sedang berlangsung. Selain itu, pengguna boleh melihat setiap nama ahli dalam ruangan yang cukup membantu dalam berinteraksi bersama pengguna lain.

Pro

  • Antara muka yang interaktif.
  • Sejumlah pilihan ruangan sembang yang terdiri daripada pelbagai tajuk.
  • Setiap ahli berpeluang menlontarkan idea sewaktu perbincangan.
  • Boleh disertai lebih daripda 5,000 pengguna sekaligus.

Cons

  • Tiada sokongan sari kata dan komen pada ruang sembang.
  • Hanya boleh diakses menerusi telefon pintar sahaja.
  • Kesukaran berinteraksi jika terlalu ramai ahli dalam satu ruangan sekaligus.

Twitter Spaces

platform audio sosial
Sumber Gambar: Voonze

Twitter juga melancarkan versi ruang sembang tersendiri iaitu Spaces yang boleh didapati menerusi telefon pintar dan versi laman web menggunakan komputer. Twitter Spaces didapati hanya membenarkan pengguna yang mempunyai 600 pengikut dan ke atas sahaja untuk menghasilkan Spaces sementara yang lain hanya boleh mendengar sahaja.

Setiap pengguna boleh menyertai sesi perbincangan yang tersedia apabila dipaparkan pada bahagian atas ruangan layar mereka. Di samping itu, Twitter Spaces dilengkapi fungsi yang interaktif pada ruangan sembang di mana pengguna boleh memberikan reaksi serta komen semasa sesi perbincangan sedang berlangsung.

platform audio sosial
Sumber Gambar: Engadget

Terdapat fungsi sari kata secara automatik tersedia untuk memudahkan pengguna mengikuti sesi perbincangan bagi mereka yang menghadapi masalah pendengaran atau tidak fasih dengan bahasa yang digunakan pada sesi perbincangan berkenaan. Malah, pengguna juga boleh menghantar mesej secara terus kepada individu di dalam ruangan tersebut.

Ruang sembang di platform ini juga mengehadkan jumlah ahli yang boleh bercakap pada satu-satu masa iaitu sekitar 11 orang sahaja. Spaces juga mempunyai jumlah pilihan ruangan sembang yang terhad oleh kerana ianya hanya memaparkan sesi perbincangan yang dicipta oleh akaun yang diikuti sahaja.

Pro

  • Lebih mudah diakses kerana majoriti pengguna sudah mempunyai akaun Twitter.
  • Pelbagai fungsi interaktif yang disediakan sewaktu sesi perbincangan.
  • Terdapat sokongan sari kata secara automatik.
  • Fleskbiliti untuk mengakses menerusi pelbagai peranti.

Cons

  • Tidak sesuai digunakan pada skala yang besar.
  • Pengguna memerlukan 600 pengikut untuk mencipta ruangan sembang sendiri.
  • Tiada fungsi penjadualan perbincangan pada masa akan datang.

Kedua-dua platform audio sosial ini mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh semua pengguna. Clubhouse telah direka khas untuk menawarkan pengalaman perhubungan berasaskan audio dengan baik. Di sini ramai golongan muda yang terdiri daripada pelbagai bidang dan profesion dapat membincangkan pelbagai tajuk dengan lebih kasual bersama pengguna lain.

Sementara Twitter Spaces pula, sebuah platform yang sesuai digunakan oleh mereka yang sudah mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan golongan profesional atau pemilik bisnes yang ingin menarik perhatian orang ramai lebih meluas. Pengguna juga mudah untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan sekaligus boleh menambah rakan baharu dengan berkongsi minat yang sama.

Ketahui juga platform Twitter bakal membolehkan pegguna beri tip berasaskan kriptowang kepada pengguna lain tidak lama lagi.

Twitter Bakal Membolehkan Pengguna Beri Tip Kepada Pengguna Berasaskan Bitcoin Dan Ethereum

Twitter Sedang Menguji Fungsi E-Dagang Dalam Memudahkan Urusan Jual Beli Secara Terus

Sumber