Kebocoran data privasi orang awam sememangnya satu perkara serius yang sering kali terjadi di sejumlah negara. Walaupun sistem sekuriti sudah dinaik taraf pada saban tahun, penggodam masih mampu menembusi sistem database sesebuah entiti.

Terkini, sekumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai organisasi keselamatan gray hat mendakwa berjaya menceroboh masuk Sistem Penyata Gaji penjawat awam bagi menunjukkan terdapat kelemahan pada sistem tersebut.

Sumber Gambar: Cybercrime magazine

Menerusi e-mel ditujukan kepada media sebelum disiarkan Sin Chew Daily, kumpulan terbabit turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti menerusi pangkalan data sistem terbabit dalam formatĀ JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separetd values (CSV).

Antara maklumat yang diakses termasuklah nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF berjumlah saiz fail 188.75 GB.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kumpulan itu turut melampirkan beberapa tangkap layar slip gaji beberapa menteri dan ahli politik seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Kumpulan itu menyatakan kerajaan diberi masa sehingga 12 September lalu untuk memberi maklum balas mengenai pendedahan mereka terhadap kelemahan sistem ePenyata Gaji, bagaimanapun tidak mendapat maklum balas diharapkan daripada beberapa individu tertinggi negara yang dihubungi.

Rentetan daripada itu, mereka merancang menjual semua data yang diekstrak daripada ePenyata Gaji di beberapa pasaran pangkalan data terbuka mulai 19 September ini. Satu laporan polis sudah diterima dari Jabatan Audit Negara berkenaan perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

Jabatan Akauntan Negara (JANM) juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam hal ini untuk memastikan agar perkara ini tidak berulang. Pihak JANM juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.