Jika serangan siber dahulunya hanya dikaitkan dengan komputer, kini tidak lagi kerana kereta juga berpotensi untuk menjadi sasaran oleh para penggodam mahir di luar sana. Hal ini kerana terdapat pelbagai cara dengan memanipulasi teknologi yang terdapat pada sesetengah kereta moden hari ini.
Menerusi penemuan terbaharu, seorang penyelidik keselamatan bernama Ayyapan Rajesh dan saintis komputer bernama Blake Berry telah menemui pepijat di dalam sistem tanpa kunci kereta Honda yang sekaligus membolehkan penggodam melakukan serangan. Serangan ini perlu dibuat bersama sebuah perkakasan berteknologi tinggi untuk memintas signal.
Dengan eksploitasi ini, ia bakal membenarkan penggodam untuk menghidupkan enjin kereta dan nyah kunci kereta Honda moden yang ada di pasaran ketika ini. Bentuk serangan dinamakan Man-in-the-middle (MITM) yang membolehkan penggodam memintas isyarat frekuensi radio (RF) yang dihantar dari sistem tanpa kunci kereta itu.
Lanjutan daripada itu, penggodam akan memanipulasi isyarat tersebut dan menghantarnya semula untuk nyah kunci kereta yang diserang. Penyelidik menyatakan antara model Honda yang terjejas dengan isu pepijat ini termasuklah model Honda Civic LX, EX, EX-L, Touring, Si, Type R keluaran dari tahun 2016 hingga 2020.
Bagaimanapun, pihak Honda pula dikatakan tiada perancangan untuk mengemas kini model kereta lama pada ketika ini. Malah, mereka juga berpendapat bahawa masih terlalu rendah potensi untuk melihat pencuri menggunakan perkakasan berteknologi tinggi untuk berbuat sedemikian.
Selain Honda, kereta Tesla juga sebelum ini didakwa boleh digodam serta diambil alih daripada jarak jauh sekaligus boleh membahayakan penggunanya.
Baru Sahaja 19 Tahun, Remaja Ini Dakwa Mampu Godam Lebih 25 Kereta Tesla Dari 13 Buah Negara
Maklumat Pengguna Apple Boleh Digodam Menerusi Peranti Penjejak AirTag