Memang tidak dinafikan setiap kali pelancaran model iPhone bakal membuatkan ramai orang berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Dengan penawaran harga yang premium, sesetengah individu sanggup mengambil langkah ekstrem kerana hanya mahu membeli peranti iPhone terbaharu itu.
Baca Juga:
- Hanya Bayar RM883.30, Lelaki Ini Kongsi Taktik Untuk ‘Jimat’ Membeli iPhone 14 Pro Max
- Skrin Masih ‘Steady’ Selepas Digelek Mesin 2.3 Tan, Ketahanan iPhone 12 Pro Max Ini Jadi Bualan Netizen
Menurut laporan Coconuts Bangkok, terdapat sebuah gambar yang memaparkan tiga pesakit dengan masing-masing berbalut kesan pembedahan pada perut sambil bangga menayang iPhone 14 yang dimiliki. Imej tersebut telah tular di seluruh pelusuk Asia Tenggara.
Foto berkenaan mula menjadi tular di seluruh Thailand dengan majoritinya orang percaya bahawa ia benar-benar terjadi. Bagaimanapun, perkara ini hanyalah satu taktik marketing oleh klinik kecantikan tersebut yang mahu lebih dikenali di dalam talian.
Namun begitu, Red Cross Organ Donation Center Thailand mengecam mesej mengelirukan itu kerana seolah mempromosikan orang ramai untuk turut mengambil langkah drastik iaitu menjual buah pinggang hanya kerana mahu mendapatkan gajet yang diidamkan semata-mata.
Tindakan penjualan organ merupakan tindakan menyalahi undang-undang di seluruh dunia. Malah, terdapat implikasi kesihatan dalam jangka masa panjang untuk mereka yang menjual buah pinggang tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Hal ini sekaligus membuatkan pengguna media sosial di Thailand membidas taktik pemasaran sedemikian. Anda diingatkan untuk mengukur baju di badan sendiri apabila mahu membelanjakan sejumlah wang sama ada ia satu kemahuan atau pun keperluan.