Mulai memasuki pasaran Malaysia seawal 2014, Oppo nampaknya semakin berjaya menambat hati pengguna dengan penawaran telefon pintar yang berbaloi beserta spesifikasi yang memukau khususnya bagi kelas pertengahan.
Jenama ini juga seringkali dilihat hadir dengan inovasi terbaru khususnya pada bahagian kamera. Jika sebelum ini, Oppo pernah hadir dengan model Oppo N1 yang dilengkapi dengan kamera yang boleh dipusing, kini Oppo kembali lagi melalui model terbaru mereka iaitu Reno2 yang dilengkapi dengan kamera bermotor bahagian hadapan yang tersembunyi.
Untuk pengetahuan, Oppo baru sahaja memperkenalkan model Reno seawal April lalu dan jenama ini nampaknya tidak menunggu lama untuk memperkenalkan model Reno2 sekitar Oktober lalu. Pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda dengan lebih lanjut review kami sepanjang menggunakan Oppo Reno2.
Skrin dan spesifikasi
Sudah menjadi trend dan kebiasaan sejak beberapa telefon terakhir ini dimana setiap telefon pintar telah dilengkapi dengan takuk. Rekaan yang aneh dan sedikit menggangu sedikit sebanyak membuatkan rekaan telefon pintar dilihat kurang menarik.
Melalui model Reno2, Oppo berjaya menyembunyikannya melalui penyertaan kamera bermotor pada bahagian hadapan yang bakal dinaikkan sewaktu anda mengambil gambar swafoto. Pada kami ianya rekaan yang cool sekaligus berjaya menawarkan skrin yang penuh pada bahagian hadapan telefon.
Skrin yang disertakan pada Oppo Reno2 adalah 6.5-inci AMOLED. Menariknya, model ini tidak disertakan dengan sebarang takuk membuatkan pengalaman penggunaan anda akan lebih puas lebih-lebih lagi ketika menonton video.
Dari segi spesifikasi, model ini dilengkapi dengan processor Snapdragon 710, RAM 8GB beserta ruang storan 256GB. Berdasarkan penggunaan kami, model ini berjaya menjalankan aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram serta beberapa aplikasi permesejan dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah.
Kamera
Memandangkan model ini memfokuskan kepada kamera, sudah pastinya aspek kamera antara yang dinantikan ramai.
Oppo Reno2 dilengkapi dengan empat kamera belakang dimana kamera utama dilengkapi dengan sensor 48-megapixel. Dalam erti kata lain, anda boleh harapkan gambar dengan kualiti yang baik melalui model ini. Selain itu, model ini turut menyokong zoom hybrid 5x dan zoom digital 20x setanding telefon pintar flagship yang lain.
Berdasarkan penggunaan kami, model ini mungkin belum cukup mencapai kualiti kamera jenama-jenama lain yang menawarkan telefon pintar yang jauh lebih mahal, walau bagaimanapun, kualiti yang ditawarkan Oppo Reno2 jelas tidak mengecewakan. Berikut merupakan sampel gambar yang diambil menggunakan Oppo Reno2.
Kesimpulan
Oppo Reno2 mula dijual dengan harga sekitar RM2,299. Berdasarkan harga yang ditawarkan anda akan menerima sebuah telefon pintar kelas pertengahan dengan keupayaan kamera yang baik.
Sekiranya anda mahukan sebuah telefon pintar yang lancar untuk digunakan, skrin tanpa takuk serta penawaran kamera yang memuaskan, Oppo Reno2 antara yang boleh anda dapatkan.
Oh ya, kami juga sangat sukakan rekaan serta saiznya yang sedap untuk digunakan dalam tempoh yang panjang. Anda boleh klik di sini untuk mendapatkannya secara rasmi daripada laman Lazada Oppo.
Sebelum ini, dilaporkan jenama Oppo antara yang berminat untuk mencuba sistem operasi keluaran Huawei. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.
https://www.thevocket.com/oppo-reno2-diperkenalkan-secara-rasmi-di-malaysia-dengan-harga-rm2299/
https://www.thevocket.com/oppo-vivo-dan-xiaomi-mula-mencuba-hongmeng-os/