OpenSea sememangnya sebuah platform dagangan NFT yang dipercayai sejak sekian lama dan menjadi pilihan nama terkemuka menawarkan sejumlah karya digital NFT menerusinya. Namun begitu, pada minggu lalu dunia kripto digegarkan dengan laporan kecurian koleksi NFT bernilai $200 juta (~RM828 juta) dari platform tersebut.

Insiden ini dipercayai terjadi disebabkan oleh kerentenan sekuriti yang mana sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan akan keselamatan platform itu. Tetapi CEO OpenSea iaitu Devin Finzer telah menyangkal sejumlah dakwaan yang berlegar di ruangan internet menerusi akaun Twitter peribadinya.

Berdasarkan siasatan yang sudah pun dijalankan, beliau menyatakan nilai kecurian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar $1.7 juta (~RM7.1 juta) dalam bentuk kriptowang Ethreum. Tambah beliau lagi NFT yang dicuri adalah dari hasil serangan phishing menggunakan emel dan bukannya kelemahan sistem platform OpenSea sendiri.

Pihak OpenSea kini juga dalam proses menghubungi mangsa yang terkesan dengan insiden kecurian tersebut untuk mengenal pasti apakah sebenar yang berjaya dicuri setakat ini. Sementara itu, ramai yang masih berpendapat perkara ini terjadi disebabkan kelemahan pada kod OpenSea dan bukannya berpunca dari phishing yang dikatakan.

Setakat ini, pihak OpenSea sedang mencari penyebab sebenar bagaimana insiden ini berlaku serta bakal mengkaji dengan lebih terperinci mengenai serangan phishing. Malah, mereka juga sedang menjejak laman sesawang yang memerangkap mangsa sehingga berjaya mencuri maklumat mangsa menerusi mesej emel tersebut.

Selain itu, platform dagangan kriptowang juga menerima nasib yang sama apabila digodam dengan jumlah kecurian sehingga RM846 juta pada tahun lalu.

Platform Dagangan Kriptowang BitMart Digodam Dengan Jumlah Kerugian Mencecah RM846 Juta

Jenayah Penipuan Kriptowang Mengakibatkan Kerugian Mencecah RM58.82 Billion Sepanjang Tahun 2021