Arena kripto kini sememangnya menjadi tajuk bualan utama di kalangan netizen yang mana sekaligus menarik minat ramai pemula yang mahu menyertainya. Akan tetapi, ramai yang tidak tahu fungsi MetaMask yang kebiasannya perlu dipasang apabila mengakses laman sesawang berkaitan kripto.

Menerusi akaun TikTok @sembang_pelaburan, beliau telah berkongsi secara terperinci mengenai fungsi MetaMask serta kebaikan dan keburukannya untuk kriptowang anda. Ini merupakan pengetahuan am yang perlu diketahui oleh pengguna yang mahu terlibat dengan urusan kriptowang.

Fungsi MetaMask

fungsi metamask
Sumber Gambar: Metamask

Secara amnya, MetaMask merupakan sebuah dompet kripto yang digunakan untuk menyimpan Ethereum dan boleh ditukarkan ke pelbagai jenis token mengikut standard ERC-20 dan non-fungible tokens (NFT). MetaMask ini membolehkan anda mengakses aplikasi tanpa pusat (DApp) yang dibina menggunakan blok rantaian Ethereum.

Selain itu, Metamask juga merupakan hot wallet yang mana sering digunakan oleh para pelabur kripto dalam membuat dagangan di dalam seharian. Malah, ia membolehkan anda menggunakan perkhidmatan yang disediakan seperti DApp kewangan, simpanan koleksi, permainan dan sebagainya.

Kelebihan menggunakan MetaMask

1. Boleh didapatkan secara percuma

Memandangkan MetaMask merupakan sebuah perisian tambahan pelayar laman sesawang yang percuma sepenuhnya, maka anda boleh memuat naik dengan mudah di laman rasminya. Di samping itu, anda mengaudit kod anda dan menikmati kemas kini serta tampalan keselamatan dengan cepat.

2. Mudah diakses

Hot wallet sememangnya mudah untuk diakses oleh pengguna menerusi pelbagai peranti kerana hanya memerlukan sambungan internet serta memasang plugin pada laman browser yang digunakan mengikut keselesaan anda. Bagi peranti mudah alih pula, ia sudah tersedia di Android dan iOS.

Menerusi MetaMask juga, sebarang transaksi pertukaran, pengeluaran, pegangan ataupun peralihan kriptowang yang dimiliki mudah untuk dilaksanakan. Majoriti boleh dilihat pelayan atau aplikasi yang menawarkan servis kriptowang menyokong perisian MetaMask secara meluas.

3. Antara muka yang menarik dan mudah digunakan

Antara sebab mengapa ramai pelabur kripto lebih mengemari dompet kripto ini adalah disebabkan antara muka yang mesra pengguna dan mudah digunakan. Hal ini juga MetaMask sudah boleh dipautkan dengan mudah daripada extension di komputer anda ke aplikasi mudah alih MetaMask.

Disebabkan ia mempunyai tahap intergrasi yang tinggi di pelbagai laman web kriptowang seperti Coinbase, shapeshift dan MyEtherWallet, maka mudah untuk anda melakukan transkasi di pelbagai platform. Menariknya juga, MetaMask turut boleh dihubungkan dengan wallet lain yang mana boleh memudahkan pengguna mengakses terus akaun wallet lain.

Keburukan menggunakan MetaMask
1. Ancaman godaman

Oleh kerana hot wallet menggunakan sambungan internet dan lebih terbuka, jadi para pengguna berpotensi untuk menjadi mangsa godaman oleh penjenayah siber di luar sana. Dompet MetaMask yang sedia menyimpan kata laluan anda di dalam browser digunakan supaya mudah diakses, namun ini membuatkan pengodam lebih mudah untuk mengeksploitasinya.

Antara teknik yang boleh digunakan adalah brute-force attack yang mana bakal menyahkod kata kunci anda dengan menyemak setiap kata laluan yang dihasilkan sehingga berjaya. Perkara ini boleh terjadi pada mana-mana peranti yang digunakan oleh anda.

2. Laman phishing yang berleluasa

Dengan peningkatan jumlah pemula yang mahu berjinak dengan NFT dan pelaburan kriptowang, maka makin ramai individu yang tidak bertanggungjawab turut memanipulasi mereka dengan laman web phishing. Bahkan, pada tahun lalu sahaja sudah dilaporkan sejumlah kes kecurian kriptowang hasil daripada laman web palsu tersebut.

Menerusi laman phishing ini, pengguna bakal memuat turun extension palsu yang sekaligus bakal mencuri maklumat dompet anda lalu dipindahkan kesemua kriptowang yang dimiliki. Kebiasannya kriptowang yang diambil sudah tidak boleh dijejaki mahupun diselamatkan lagi.

https://www.tiktok.com/@sembang_pelaburan/video/7048813245515173121

Untuk anda yang mahu berjinak dengan dunia NFT yang kian popular pada hari ini, anda perlu cakna mengenai dompet kripto yang digunakan supaya mudah untuk berurusan dan juga tidak mudah ditipu oleh penjenayah siber. Anda boleh kongsikan artikel ini kepada mereka yang berminat dengan dunia kripto dan NFT.

Pada awal tahun ini, dilaporkan jenayah penipuan kriptowang mengakibatkan kerugian mencecah RM58.82 billion dalam sepanjang tahun lalu.

Jenayah Penipuan Kriptowang Mengakibatkan Kerugian Mencecah RM58.82 Billion Sepanjang Tahun 2021

Platform Dagangan Kriptowang BitMart Digodam Dengan Jumlah Kerugian Mencecah RM846 Juta

Sumber