Aplikasi MySejahtera telah dikemaskini dengan fungsi terbaharu iaitu MySJ Trace yang mana boleh membuat pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19 lebih mudah dikesan. Namun begitu, masih terdapat segelintir pengguna yang tidak selesa untuk guna fungsi tersebut.

Oleh itu, terdapat laporan terbaharu yang mengatakan bahawa kerajaan berkemungkinan akan memaksa pengguna MySejahtera mengaktifkan fungsi baharu yang dilancarkan menggunakan teknologi bluetooth untuk pengesanan kontak rapat. Menerusinya, penularan wabak boleh dipantau dengan lebih mudah serta pantas.

Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan memaklumkan pada masa ini mereka menggalakkan penggunaan ciri MySejahtera Trace(MySJ Trace) yang dilancarkan Ahad lalu, tetapi jika kes penularan menaik dengan banyak maka langkah lebih ketat akan dikuatkuasakan kelak.

Perkara ini dipandang serius memandangkan ia sangat penting dalam membuat pengesanan kontak kasual serta membuat penilaian dengan terperinci sekiranya dikesan terdapat individu yang disahkan positif COVID-19 menerusi fungsi bluetooth tersebut. Selain itu, ciri ini dapat memastikan rakyat boleh bergerak tanpa perlu pelaksanaan lockdown lagi.

Beliau juga sudah bermesyuarat bersama beberapa wakil persatuan pengusaha bisnes dan semuanya sudah bersetuju untuk menggalakkan pengunjung menggunakan ciri MySJ Trace ketika berada dalam premis mereka. Fungsi MySJ Trace dibangunkan bagi memenuhi keperluan FTTIS yang digunakan KKM dalam mengawal penularan COVID-19.

Anda juga tidak perlu risau akan masalah bateri apabila diaktifkan fungsi ini kerana penggunaan baterinya yang sangat sedikit. Berkaitan privasi pula, setiap maklumat yang dikumpulkan hanya diakses oleh pihak KKM sahaja bagi penilaian.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, anda disarankan untuk mematuhi arahan pengaktifan fungsi terbaharu ini kerana dapat membantu pengawalan penularan COVID-19 yang lebih efektif serta memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

Selain menambah ciri MySJ Trace, kini anda juga tidak perlu menekan butang Check Out apabila mengunjungi mana-mana premis seperti sebelum ini.

Tiada Lagi Butang ‘Check Out’, MySejahtera Perkenalkan Fungsi MySJ Trace Bermula Hari Ini

Kemas Kini Terbaru MySejahtera Hadir Dengan Fungsi Pembelian Kit Ujian Kendiri