Jika sebelum ini kita pernah mendengar kerajaan El Salvador sedia menawarkan gaji bulanan dalam Bitcoin, kini giliran negara Jepun mengadaptasi penggunaan aset digital iaitu NFT sebagai ganjaran kepada pihak berkuasa tempatan di sana.

Terbaharu, kerajaan Jepun muncul negara pertama yang menawarkan NFT sebagai satu bentuk ganjaran tambahan untuk mengiktiraf kerja pihak berkuasa tempatan yang cemerlang. Pihak berkuasa ini diteliti perlu mampu menggunakan teknologi digital untuk menyelesaikan cabaran tempatan.

Sumber Gambar: Reuters

Anugerah itu disampaikan oleh Sekteriat Kabinet, sebuah agensi kerajaan yang diketuai oleh Setiusaha Kabinet negara Hirokazu Matsuno di dalam acara Summer Digi Denkoshien 2022. Sebanyak tujuh Datuk Bandar menerima pengiktirafan untuk idea bernas dengan menggunakan teknologi digital.

Antara idea yang diberikan adalah menggunakan kenderaan elektrik untuk penghantaran makanan yang dilihat lebih kos efektif dan efisien. Salah seorang daripada mereka juga menyarankan penggunaan kamera pada peranti mudah alih untuk menjejaki perubahan trafik semasa dalam masa nyata.

Difahamkan aset digital yang diberikan juga eksklusif yang mana tidak boleh dipindahkan hak milik mahupun dijual pada pasaran sekunder. Ini merupakan salah satu titik tolak permulaan penerimaan aset digital berasaskan blockchain dengan lebih secara terbuka oleh negara maju seperti Jepun.