Sekiranya anda masih ingat pada pertengahan tahun lalu tular sebuah video animasi yang memaparkan bagaimana seorang suami berusaha keras untuk mendapatkan PS5 tanpa pengetahuan si isteri. Konsol tersebut telah dinamakan sebagai Plash Speed 5 dan dilabel sebagai sebuah router.

Video yang tular ini berjaya membuatkan orang ramai terhibur dalam menantikan konsol Sony PS5 dijual secara rasmi. Namun siapa yang menyangka, taktik yang hampir sama nampaknya benar-benar digunakan seorang suami di Taiwan bagi mendapatkan Sony PS5 tanpa ‘pengetahuan’ isteri.

Berdasarkan perkongsian pembeli PS5 yang dikenali sebagai Jin Wu menerusi seorang reseller di laman Facebook, semuanya bermula apabila beliau menelefon iklan yang dimuat naik reseller yang menjual konsol Sony PS5.

Harga yang berpatutan serta lebih rendah berbanding reseller lain membuatkan beliau berminat untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, beliau seakan tidak percaya apabila mendapati seorang wanita yang kurang arif berkenaan konsol yang menjawab nombor yang ditelefon serta memaklumkan ingin menjualnya.

Namun, atas dasar kepercayaan, beliau meneruskan pembelian secara cash on delivery atau COD bersama reseller berkenaan. Ironinya, reseller berkenaan merupakan seorang lelaki dan berbeza dengan individu yang yang beliau telefon sebelumnya.

Menurut perkongsian pembeli, lelaki yang dilihat sebagai seorang gamer tegar itu kelihatan gusar dan terpaksa melepaskan Sony PS5 yang baru sahaja ditawarkan secara rasmi di pasaran.

Semuanya terbongkar apabila reseller berkenaan menjelaskan perkara sebenar di mana ‘penipuan’ beliau kepada si isteri dengan mengatakan Sony PS5 yang baru sahaja dibeli merupakan sebuah air purifier. Meskipun kelihatan mirip, penipuan lelaki ini berjaya dihidu si isteri lantas memaksa si suami untuk menjualnya semula dengan pantas.

Meskipun perkongsian yang dibuat merupakan berita yang menyedihkan buat seorang gamer tegar, netizen nampaknya sangat terhibur mengetahui situasi yang mirip dengan video animasi berkenaan benar-benar terjadi di dunia sebenar.

Perkongsian Jin Wu selaku pembeli Sony PS5 bekenaan setakat ini telah menerima lebih 4,000 perkongsian di Facebook dan tular dengan meluas di media sosial.

Tular pada minggu lalu apabila TMJ dilaporkan berjaya menjadi individu pertama di Malaysia memiliki konsol Sony PS5.

https://www.thevocket.com/terima-tiga-minggu-lebih-awal-tmj-muncul-individu-pertama-di-malaysia-memiliki-ps5/

https://www.thevocket.com/baru-sahaja-dibuka-tempahan-reseller-sudah-mula-jual-ps5-dengan-harga-sehingga-rm150489/

Sumber