Sejak beberapa minggu lalu, terdapat pelbagai spekulasi berkenaan model yang dikatakan sebagai iPhone 14 Max. Sebelum ini model tersebut dikatakan akan diperkenalkan selepas ketiadaan siri iPhone mini baharu.

Terkini, model berkenaan dilaporkan tidak akan dikenali sebagai iPhone 14 Max, sebaliknya dikenali sebagai iPhone 14 Plus. Perkara ini menjadi bualan hangat selepas perkongsian gambar oleh pengguna Twitter, Tommy Boi di mana nama iPhone 14 Plus tertera dengan jelas pada kerangka Clear Case MagSafe.

Jika maklumat ini tepat, Apple dijangka mungkin akan mengekalkan model Max khusus pada varian Pro sahaja. Manakala Plus pula mungkin untuk varian bukan Pro.

Apple pertama kali memperkenalkan model Plus di dalam siri iPhone menerusi iPhone 6 Plus pada 2014. Khabar angin juga kuat mengatakan iPhone 14 Plus dan iPhone 14 Pro Max berkenaan akan mempunyai ukuran paparan yang sama 6.7-inci. Sungguhpun mempunyai saiz yang sama, perbezaan ketara antara keduanya adalah pada sistem kamera dan spesifikasi dalamannya.

Sementara di China, sudah terdapat klon iPhone 14 Pro yang dijual secara meluas kepada pengguna walaupun belum dilancarkan secara rasmi.

Belum Lagi Dilancarkan Secara Rasmi, Klon iPhone 14 Pro Dikesan Sudah Mulai Dijual Di China

Apple iPhone 14 Dijangka Bakal Hadir Dengan Ciri Sambungan Satelit