iOS 15.4 telah membawakan beberapa ciri baharu termasuklah keupayaan untuk menambah sijil vaksinasi digital Eropah dalam Apple Wallet. Walaupun ciri ini tidak disokong secara rasmi seperti di negara jiran Singapura dan Thailand, format QR yang MySejahtera gunakan untuk sijil digitalnya selaras dengan standard Eropah.

Ini berpotensi berfungsi sebagai alternatif untuk pengguna iPhone menunjukkan bukti vaksinasi selain menggunakan MySejahtera. Walaupun ia belum dapat menyokong Apple Wallet lagi, anda masih boleh mengakses rekod vaksinasi menerusi aplikasi Apple Health.

Sumber Gambar: 9to5mac

Untuk menambah rekod vaksinasi, anda semestinya perlu mengemas kini iPhone kepada iOS 15.4. Selain itu, anda perlu telefon pintar kedua memandangkan anda dikehendaki mengimbas kod QR untuk menambah sijil digital vaksinasi tersebut pada aplikasi Health. Anda juga boleh mencetak kod QR tersebut sebagai alternatif untuk pengimbasan kod.

Cara Tambah Rekod Vaksinasi COVID-19 Pada Aplikasi Health

1. Lancarkan kamera pada iPhone anda dan imbas kod QR. Perlu diingatkan bahawa anda perlu mengimbas setiap satu kod QR sijil digital vaksinasi tersebut.

2. Satu pop up berwarna kuning akan timbul dengan label “Covid-19 Vaccination”. Tekan padanya dan anda akan melihat halaman yang meminta anda untuk menambah rekod vaksinasi di Add to Wallet & Health.

3. Tekan pada Add to Wallet & Health.

4. Satu amaran akan dipaparkan yang mengatakan “Unable to Add to Wallet” dan anda boleh mengabaikannya dengan mengklik Done.

5. Ulangi semua langkah untuk semua dos vaksin anda termasuk dos penggalak anda.

Selepas itu, anda menyemak rekod vaksinasi tersebut di aplikasi Health di bawah Immunisations. Setiap rekod mempunyai data terperinci termasuklah nama vaksin, nama penuh, tarikh lahir, dan tarikh dos vaksin diberikan.

Ini mungkin sebagai alternatif sahaja tetapi rujukan yang paling utama sudah semestinya sijil digital vaksinasi yang dikeluarkan pada aplikasi MySejahtera. Untuk anda yang masih belum mengemas kini iOS 15.4, saiz fail sebesar 1GB akan perlu dimuat turun dan kemudian barulah boleh menikmati sejumlah fungsi terbaharu.

Selain itu, anda juga boleh menikmati ciri unlock iphone dalam keadaan memakai pelitup muka menerusi iOS 15.4.

iOS 15.4 Kini Hadir Dengan Ciri ‘Unlock’ iPhone Walaupun Ketika Memakai Pelitup Muka

37 Emoji Baharu Sedia Ditawarkan Menerusi Kemas Kini iOS 15.4 Kelak