Harapan menjadi layu apabila Huawei Singapura yang sebelum ini mempromosikan model Huawei Y6 Pro 2019 dengan harga S$54 (RM162) gagal mengawal kebanjiran orang ramai yang berminat untuk mendapatkan model promosi ini.
Promosi yang dijalankan sempena ulang tahun Singapura yang ke-54 ini pada awalnya membolehkan setiap pelanggan mendapatkan satu atau dua model yang ditawarkan.
Walau bagaimanapun, para pelanggan dikatakan seolah merasa tertipu setelah cuma 30 set Huawei Y6 2019 ditawarkan pada setiap rangkaian kedai Huawei di Singapura dimana sejumlah besar pelanggan yang beratur seawal 4 pagi gagal mendapatkannya. Malah, terdapat cawangan yang sudah pun kehabisan stok sebelum kedai mula dibuka.
Kekecohan yang berlaku ini turut mengundang keganasan dimana pihak polis turut terlibat di beberapa kawasan manakala terdapat cawangan yang bakal ditutup sepenuh hari bagi mengelakkan daripada ancaman yang tidak diingini.
Sejurus kejadian, pihak Huawei turut mengeluarkan permohonan maaf di laman Facebook mereka berikutan kegagalan mereka dalam menampung jumlah pelanggan yang hadir.
Huawei Singapura juga dijangka bakal melancarkan sebuah lagi promosi pada Sabtu ini dimana Huawei Mate 20 yang sebelum ini dijual dengan harga $S998 (RM3,005) ditawarkan dengan harga serendah $S568 (RM1,710.27). Promosi ini walau bagaimanapun sah buat warga Singapura sahaja.