Sejak pada mula Huawei dikenakan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat arahan Donald Trump, syarikat dari China ini dilihat bertungkus-lumus dalam menghasilkan sistem operasi mereka yang dinamakan sebagai HongMeng OS.
Usaha mereka turut mendapat perhatian ramai baru-baru ini setelah CEO Huawei, Ren Zhengfei mengesahkan prestasi HongMeng OS lebih pantas berbanding Android dan macOS.
Walau bagaimanapun, harapan orang ramai untuk menggunakan sistem operasi Huawei ini dilihat semakin kabur setelah CEO syarikat ini mengesahkan dimana mereka masih lagi akan menggunakan Android pada telefon pintar keluaran mereka setelah tidak dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.
Alasannya, Andoid sudahpun memiliki ekosistem yang lengkap manakala HongMeng OS pula masih jauh dalam membina ekosistem yang tersendiri. Selain itu, beliau turut mengatakan HongMeng OS tidak dibina untuk menggantikan Google dan Android sekaligus menimbulkan tanda tanya pengguna mengenai sistem operasi ini.
Kenyataan yang dibuat ini sekaligus mengesahkan Huawei Mate 30 dan Mate 30 Pro yang bakal dilancarkan tidak lama lagi bakal hadir dengan sistem operasi Android. Sama-sama kita nantikan keputusan terbaru yang bakal diumumkan Huawei menjelang pelancaran telefon pintar terbaru mereka.