Setelah sekian lama Huawei mengeluarkan teaser bagi model terbaru mereka, nampaknya segala teka teki telah terjawab pada aturcara semalam yang berlangsung di Paris dimana dua model telah dilancarkan iaitu Huawei P30 dan P30 Pro.

Siri-P ini memfokuskan kepada fotografi serta turut memberi penekanan dari segi prestasi. Model yang hangat dibincangkan sudah pastinya Huawei P30 Pro yang hadir dengan empat kamera pada bahagian belakang. Penawaran teknologi kamera dengan kerjasama bersama Leica ini juga berjaya meletakkan siri ini sebagai pilihan pengguna.

Rekabentuk & Spesifikasi

Huawei-P30-P30-Pro-9

Mengulas mengenai rekabentuk, Huawei P30 dan P30 Pro masing-masing hadir dengan rekabentuk yang hampir sama dengan takuk bulat pada bahagian tengah skrin dengan penyertaan kamera hadapan.

Huawei P30 hadir dengan skrinĀ 6.1-inci OLED manakala P30 Pro dengan 6.47-inci OLED. Masing-masing disertakan dengan processor yang sama digunakan pada Huawei Mate 20 Pro iaitu Kirin 980, RAM 8GB. Ruang storan bagi P30 adalah 128GB manakala P30 Pro mempunyai kapasiti yang lebih besar iaitu 512GB.

Menariknya Huawei P30 Pro turut dilengkapkan dengan sokongan kalis air IP68. Kapasiti bateri bersaiz 4,200mAh bakal memastikan anda tidak mengalami masalah bateri untuk penggunaan bateri seharian.

Kamera

Huawei-P30-Pro-camera-macro-24-of-60

Mengulas mengenai siri-P daripada Huawei pastinya aspek kamera yang diberi penekanan. Dalam usaha untuk mengekalkan takhta sebagai penawar jenama dengan kamera terbaik, Huawei P30 Pro berjaya dilengkapkan dengan empat kamera merangkumi kamera 40-megapixel, 20-megapixel dan 8-megapixel. Turut disertakan bersama adalah lensa TOF dan juga kamera hadapan 32-megapixel.

Untuk pengetahuan, Huawei P30 tidak dilengkapkan dengan lensa TOF walaubagaimanapun kami berpendapat ianya masih berbaloi dimiliki sekiranya anda bukan pengguna kamera yang menggunakan zoom sehingga 50 kali ganda.

Markah daripada DxOMark, selaku firma yang menguji prestasi kamera menunjukkan Huawei P30 Pro berjaya menjadi telefon pintar dengan kamera terbaik dengan markah 112 mengalahkan pencabar terdekat iaitu Huawei Mate 20 Pro.

Harga

huawei-p30-pro

Setakat ini masih belum diketahui berapa harga yang bakal ditawarkan buat Huawei P30 dan P30 Pro bagi pasaran Malaysia. Walaubagaimanapun, melihat kepada harga penjualan model Huawei sebelum ini harga yang berbaloi bakal ditawarkan berdasarkan spesifikasi dan teknologi kameranya yang memukau.

Huawei P30 dan P30 Pro dijangka mula memasuki Malaysia seawal 6 April ini. Sama-sama kita nantikan apakah lagi barangan menarik yang bakal ditawarkan Huawei Malaysia buat pembeli terawal Huawei P30.