Nama Huawei tidak semegah dahulu selepas mengalami sekatan perdagangan sekaligus memberi peluang kepada pesaing lain untuk mendominasi pasaran semasa. Syarikat Huawei bagaimanapun masih mampu bersaing di peringkat global walaupun ketiadaan akses pada cip 5G dan juga servis GMS.

Menerusi sebuah temu bual yang dilaporkan oleh IT Home, Richard Yu selaku Ketua Pengawai Eksekutif peranti mudah alih Huawei berkata dunia telefon pintar sekarang pastinya berbeza jika mereka tidak dikenakan sekatan. Beliau menegaskan lagi bahawa pasaran telefon pintar global akan didominasi oleh Huawei dan Apple.

Sumber Gambar: Mobile World Live

Pengeluar lain termasuk Korea Selatan yang ditujukan kepada Samsung hanya akan memasarkan peranti mereka di Amerika Syarikat dan Korea Selatan sahaja. Kenyataan yang dilontarkan beliau agak mengejutkan kerana seakan memperkecilkan kemampuan Samsung yang kini masih lagi merupakan pengeluar telefon pintar nombor satu dunia sepanjang 2021.

Tidak dapat dinafikan Huawei mempunyai kekuatan tersendiri dalam menawarkan peranti yang serba canggih untuk platform Android sebelum dikenakan sekatan dagangan. Namun, sehingga ke hari ini Samsung sendiri mempunyai kepakaran di dalam pelbagai bidang termasuklah kamera, skrin paparan berkualiti dan juga pembuatan cip tersendiri.

Malah, jenama Xiaomi juga dilihat lebih dominan di dalam pasaran berbanding Huawei pada ketika ini walaupun Huawei cuba menawarkan pelbagai jenis peranti mengikut perkembangan peranti terbaharu. Apa-apa pun, Huawei dilihat mempunyai cita-cita besar untuk menjadi syarikat pengeluar telefon pintar pertama dunia untuk beberapa tahun mendatang.

Di Malaysia sahaja, Xiaomi berjaya muncul sebagai jenama telefon pintar pilihan pengguna tempatan pada tahun 2021.

Xiaomi Berjaya Muncul Sebagai Jenama Telefon Pintar Pilihan Rakyat Malaysia Pada Tahun 2021

Xiaomi Dan Leica Jalin Kerjasama, Janjikan Pengalaman Fotografi Yang Lebih Padu