‘Hackers’ Jual 267 Juta Data Pengguna Facebook Dengan Harga RM2,000

Cyble, sebuah platform perisikan ancaman siber yang bertanggungjawab mendedahkan penjualan lebih 500,000 data pengguna Zoom kembali dengan pendedahan yang baharu, iaitu aktiviti penjualan 267 juta data pengguna Facebook dengan harga € 500 (RM2,000).

Data tersebut merangkumi alamat e-mel, nama, ID Facebook, tarikh lahir dan nombor telefon yang boleh dibeli dan dimuat turun. Walaupun kata laluan tidak didedahkan oleh penggodam, namun data yang dibeli cukup untuk kegiatan penipuan.

Akhir tahun lalu, ID Pengguna didapati dijual dalam talian. Manakala Facebook pada waktu itu hanya memberi maklum balas bahawa pihak mereka sedang meneliti situasi terbabit.

“Percayalah kemungkinan maklumat yang diperoleh adalah sebelum perubahan yang kami buat dalam beberapa tahun terakhir untuk melindungi maklumat pengguna dengan lebih baik,” kata kenyataan dari Facebook.

Pada bulan November tahun lalu, Facebook turut mendedahkan kemungkinan bahawa sekurang-kurangnya 100 pembangun aplikasi telah berjaya mengakses data pengguna Facebook selama berbulan-berbulan.

Para penyelidik masih berteka-teki bagaimana penggodam telah berjaya mengakses data tersebut, namun mereka percaya situasi ini terjadi disebabkan kebocoran API pihak ketiga atau pengikisan web – pengikisan web merujuk kepada dapatan data dari laman web yang dipindahkan ke dalam spreadsheet atau local file. Ia biasa digunakan untuk analisis pesaing, pertaruhan dan penyelidikan pasaran.

Facebook telah menasihatkan pengguna untuk mengubah kata laluan dengan kerap dan pastikan bahawa anda tidak menggunakan semula kata laluan yang sama di platform yang lain – penggunaan semula kata laluan adalah faktor kepada kebocoran akaun.

Pengguna juga perlu mengaktifkan pengesahan dua faktor atau two-factor authentication bagi memastikan sebarang kebocoran nama pengguna dan kata laluan tidak akan membolehkan penggodam mengakses akaun anda.

Untuk bacaan lanjut mengenai penipuan Hackers, klik pautan di bawah.

https://www.thevocket.com/pengguna-cimb-terdedah-serangan-hackers-dinasihatkan-untuk-tukar-kata-laluan/

https://www.thevocket.com/hacker-mahu-padam-akaun-rasmi-mark-zuckerberg-menerusi-facebook-live/

 

https://www.thevocket.com/henti-buat-simbol-peace-ketika-bergambar-anda-akan-terdedah-kepada-bahaya/

Exit mobile version