GoPro baru sahaja melancarkan kamera aksi baharu mereka yang dikenali sebagai GoPro Hero11 Black bersama juga versi kompak iaitu Hero11 Black Mini. Menariknya, kedua-dua model berkongsi spesifikasi yang sama kecuali beza pada skrin dan bateri sahaja.

Mari kita lihat secara terperinci penawaran kedua-dua kamera aksi terbaharu GoPro ini. Apa yang pasti, kualiti sudah pasti terjamin bersama ciri kamera yang lebih canggih dan terkini.

GoPro Hero11 Black

Sumber Gambar: GoPro

GoPro Hero11 Black masih lagi kekal menggunakan rekaan dan tubuh yang sama dengan model Hero10 Black sebelum ini. Selain itu, Hero11 Black kini terus menggunakan bateri Enduro berkapasiti 1,720mAh dengan ketahanan 38% lebih lama daripada bateri biasa.

Pengguna juga sudah tidak perlu melanggan perkhidmatan langganan GoPro untuk menggunakan ciri video highlight. Malah, model ini juga menggunakan cip pemprosesan GP2 yang lama tetapi dengan kebolehan menangkap lebih banyak data video.

Sumber Gambar: GoPro

Dari segi kamera pula, model ini sudah tampil dengan sensor yang lebih baik di mana mampu merakam dengan resolusi mencapai 5.3K dengan field of view  menegak yang paling besar di dalam barisan GoPro setakat ini. GoPro turut menyertakan sokongan rakaman video pusingan 360° yang dikunci secara mendatar pada kadar 5K30FPS.

Terdapat sejumlah mod rakaman lain seperti Light Paint, Star Trails dan juga HyperView Mode untuk memuatkan rakaman pada nisbah paparan 16:9. Bukan itu sahaja, sistem penstabilan video HyperSmooth juga dikemas kini dengan sokongan Auto Boost untuk menstabilkan pergerakan yang lebih lasak.

GoPro Hero11 Black Mini

Sumber Gambar: GoPro

Untuk GoPro Hero11 Black Mini pula, spesifikasi yang disertakan tetap sama seperti model premium di atas tetapi dengan rekaan yang lebih kompak. Perbezaan yang terdapat pada model ini hanyalah terletak kepada bateri yang tidak boleh ditanggalkan bersama skrin yang lebih kecil dan mempunyai butang fizikal untuk kawalan.

Prestasi pula sama sahaja seperti model premium termasuklah dengan ciri HyperSmooth 5.0 yang mampu menawarkan rakaman yang lebih stabil serta juga boleh mengaktifkan mod Easy Control buat pemula berjinak dengan kamera aksi. Bateri juga sedikit kecil iaitu 1,500mAh sahaja.

Sumber Gambar: GoPro

Harga jualan untuk Hero 11 Black adalah $499.99 (~RM2,266.95), sementara Hero 11 Black Mini pula dijual pada harga $399.99 (~RM1,813.55). Buat masa ini, harga jualan untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan lagi.