Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Nama Ghozali kini menjadi sebutan di seluruh dunia oleh kerana berupaya menjual sejumlah gambar selfienya berasaskan NFT di platform OpenSea. Koleksi Ghozali Everyday menerima perhatian ramai sejak beliau membuat ciapan di laman media sosial peribadinya baru-baru ini.

Menerusi laman Lifestyle Asia, difahamkan Ghozali Ghozalo pada mulanya mengambil foto selfie tersebut bagi tujuan projek video tugasan sekolah selama lima tahun sejak 2017 lagi. Foto yang diambil mengandungi gambar beliau sendiri yang duduk di hadapan komputer pada setiap hari.

Sumber Gambar: Lifestyle Asia

Pada minggu lalu, beliau memilih untuk mentokenkan sebanyak 933 gambar menjadi NFT yang kemudiannya dijual pada harga 0.001 ETH bersamaan RM13.91 bagi setiap satu.

Bagaimanapun, perkara ini berubah sekelip mata selepas ia mulai tular merentasi pelbagai platform sejak beberapa hari lalu sekaligus membuatkan NFT beliau dibeli berkali-kali dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Terbaharu, harga lantai karya NFT beliau sudah mencecah sehingga 0.9 ETH (~RM12,461) untuk setiap satu. Setakat artikel ditulis, jumlah keseluruhan dagangan di OpenSea sudah berjumlah 326ETH (~RM4.3 juta).

Malah, beliau turut mendapat perhatian daripada chef selebriti di negara sendiri yang mempromosikan karya digital NFT tersebut menerusi ciapan di akaun Twitter peribadinya. Poernomo mengatakan dengan ciapan beliau sahaja sudah dapat mengubah hidup Ghozali malah para pemilik NFT tersebut menerima pulangan setinggi 78,000% atas pelaburan mereka.

Menariknya, nama koleksi itu juga mengingatkan peminat NFT akan tentang karya seni NFT terulung yang digelar Everydays: The First 5,000 Days yang dijual pada Mac 2021 dengan harga $69 juta (~RM288.3 juta). Gambar NFT tersebut berkisarkan himpunan koleksi gambar digital sebanyak 5,000 yang diambil pada setiap hari sejak 2007 lalu.

Jika anda berminat untuk ketahui 6 karya NFT termahal di dunia yang berjaya dijual setakat ini, boleh klik pada pautan di bawah bagi bacaan lanjut.

6 Karya NFT Termahal Dunia Yang Berjaya Dijual Setakat Ini

6 Platform Jual Beli NFT Terbaik Untuk Anda Cuba Pada Tahun 2021

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group