Penjenamaan Facebook itu sendiri telah sinonim dengan semua pengguna di seluruh dunia sebagai sebuah laman media sosial yang popular. Akan tetapi, Facebook dilihat mempunyai perancangan yang berbeza untuk haluan dan misi bagi syarikat tersebut pada masa kelak.

Menurut laporan terkini TheVerge, Facebook dikatakan dalam perancangan untuk membuat penjenamaan baharu untuk syarikat tersebut pada minggu hadapan. Mark Zuckerberg selaku CEO akan berkongsi nama baharu pada acara persidangan Connect tahunan ini atau lebih awal daripada yang dijangkakan.

Langkah ini diambil kerana posisi Facebook sebagai media sosial telah mengaburi anak-anak syarikat lain yang berada di bawah mereka. Dengan penjenamaan baharu ini, kesemua syarikat yang berkait bersama Facebook akan dikenali dengan sebuah nama baharu di bawah satu bumbung yang sama.

Sumber Gambar: Cnet

Dalam pada itu, perubahan nama ini juga berkait dengan projek metaverse yang dibangunkan oleh Facebook di mana pengguna di alam realiti menggunakan sejumlah peranti tertentu untuk bergerak dan berkomunikasi bersama pengguna lain di dalam persekitaran virtual.

Untuk makluman, ini bukanlah perkara yang baharu kerana syarikat Google juga pada tahun 2015 lepas sudah membuat penjenamaan baharu yang dikenali sebagai Alphabet selepas mengembangkan lebih banyak cabang servis di dalam bisnesnya. Perkara ini dilihat ada logiknya juga kerana Facebook sendiri sudah memasuki pelbagai bidang selain daripada laman media sosial.

Di samping itu, Facebook juga sudah menyertai pasaran cermin mata pintar dengan pengenalan Rayban Stories baru-baru ini.

Facebook Memperlihatkan Kaca Mata Pintar Hasil Kolaborasi Bersama Ray Ban

Facebook Lancar Horizon Workrooms, Tempat Mesyuarat Maya Yang Nampak Lebih ‘Real’