Kebiasaannya webcam yang tersedia pada laptop atau komputer tidak mempunyai kualiti yang baik dan ada juga yang tidak disertakan padanya. Kini anda boleh mengatasi masalah berkenaan dengan menggunakan iPhone sebagai webcam untuk Windows dan macOS menerusi aplikasi EpocCam.

EpocCam merupakan sebuah aplikasi yang boleh menjadikan peranti iPhone anda sebagai webcam yang kemudiannya boleh disambungkan pada perisian-perisian telesidang seperti Zoom, Skype atau Microsoft Team. Pada artikel ini, kami akan berkongsi cara memasang aplikasi EpocCam dan persiapan yang diperlukan untuk menjalankannya.

aplikasi epoccam
Sumber Gambar: Elgato

Untuk pengetahuan anda, perisian EpocCam hanya boleh dijalankan pada sistem operasi yang mempunyai kemas kini macOS 10.14 dan ke atas atau Windows 10 dan ke atas sahaja. Di samping itu, EpocCam juga hanya menyokong iPhone yang telah dikemas kini dengan sistem operasi iOS 13 dan ke atas.

1. Pertama sekali, anda perlu memuat turun aplikasi EpocCam pada peranti iPhone anda yang boleh didapati secara percuma menerusi App Store dan dapatkan juga perisian EpocCam untuk komputer anda sama ada macOS atau Windows menerusi laman elgato.

2. Selepas siap memasangnya pada kedua-dua peranti tersebut, anda perlu membuka aplikasi tersebut lalu sambungkan peranti iPhone dan komputer pada rangkaian WiFi yang sama. Selain menggunakan WiFi, terdapat sokongan kabel USB yang turut boleh pasang secara terus daripada iPhone ke komputer.

3. Akhir sekali, sambungan yang berjaya membolehkan anda melihat video secara langsung daripada kamera iPhone muncul di skrin komputer. Kini anda hanya perlu membuka aplikasi panggilan video yang dipakai seperti Zoom, Skype, Microsoft Teams dan lanjut pergi ke bahagian tetapan perisian dan pilih EpocCam sebagai kamera utama.

4. Dalam memudahkan penggunaan, anda disarankan untuk mendapatkan klip yang mampu disambungkan pada monitor dalam meletakkan iPhone dalam keadaan yang statik.

Walaupun aplikasi ini sedia ditawarkan secara percuma kepada pengguna di luar sana, masih terdapat pelbagai fungsi lain yang hanya terdapat pada versi berbayar dalam menawarkan pengalaman penggunaan yang optimum. Antaranya seperti kebolehan menggunakan mikrofon pada telefon, pelarasan fokus, video kualiti yang lebih baik dan lain-lain lagi.

Sekiranya anda bakal menggunakan iPhone sebagai kamera web utama dalam urusan seharian, sangatlah berbaloi untuk mendapatkan versi Pro kerana hanya dikenakan sekali pembayaran sahaja sebanyak RM33.99. Anda boleh menikmati sejumlah fungsi menarik dengan hasil kualiti panggilan video yang baik.

aplikasi epoccam
Sumber Gambar: Elgato

Kehadiran aplikasi kamera web seumpama ini sememangnya salah satu penyelesaian bagi mereka yang mahukan kualiti panggilan video yang lebih baik serta boleh diakses dengan mudah di mana-mana.

Malah, ia juga menyokong sejumlah perisian telesidang yang sering digunakan umum serta boleh disambungkan menerusi WiFi sahaja.

Ketahui juga bagaimana sesetengah individu melakukan serangan Zoom Raid dan cara mengatasinya dengan efektif.

Bagaimana Serangan Zoom Raid Dilakukan Kepada Pelajar Dan Cara Mengatasinya

Cara Mengelakkan WhatsApp Kena ‘Hack’ Dengan Mudah Menerusi Fungsi Pengesahan 2 Langkah

Sumber