Apple sudah tidak menyediakan lagi pengecas bersama peranti telefon pintar yang dijual sejak tahun 2020 lagi dalam usaha untuk menjaga alam sekitar. Namun pendekatan ini tidak banyak pihak yang bersetuju memandangkan ia menjadi satu kebiasaan untuk pihak pengeluar menyertakan pengecasan bagi setiap peranti yang dijual.

Terbaharu, seorang hakim di Brazil telah mengarahkan syarikat Apple untuk membayar sebanyak $1,081 (~RM4,656) kepada seorang pelanggan kerana tidak memasukkan pengecas bersama iPhone baharunya.

Sumber Gambar: UNILAD

Hakim, Vanderlei Caires Pinheiro dari mahkamah sivil di bandar Goiânia memutuskan bahawa syarikat gergasi itu bertanggungjawab ke atas amalan yang dikenali sebagai ‘tie sale’. Ini bermakna firma memerlukan pelanggan membeli dua barangan berasingan agar salah satu daripadanya berfungsi dengan baik.

Hakim berkata Apple telah mewajibkan pengguna untuk membeli pengecas berasingan yang eksklusif hanya untuk peranti iPhone. Jadi, para pelanggan terpaksa membeli pengecas berkenaan daripada Apple yang sememangnya direka khas untuk mengecas iPhone yang baharu dibeli.

Dalam usaha pembelaan pihak Apple, mereka memaklumkan setiap iPhone didatangkan dengan kabel Lightning yang boleh digunakan pada pengecas jenama pihak ketiga. Bagaimanapun, hakim memutuskan bahawa kabel Lightning hanya berfungsi dengan pengecas yang mempunyai port USB-C dan direka khas untuk pengecas yang dikeluarkan oleh Apple.

Malah, Apple juga didapati masih menghasilkan pengecas tersebut dan menjual secara berasingan kepada pelanggan. Hal ini sekaligus berlawanan dengan matlamat yang mahu mengurangkan sisa barangan elektronik untuk mejaga alam sekitar.

Lanjutan daripada itu, Apple perlu membayar sebanyak RM4,656 dan menyediakan pengecas baharu kepada lelaki berkenaan. Apple diberi tempoh selama 10 hari dan akan dikenakan denda tambahan jika lebih daripada ditetapkan. Brazil sebenarnya antara negara yang sangat giat menentang akan praktis sedemikian.

Di China sebelum ini, sekumpulan pelajar universiti pernah menyaman Apple gara-gara tidak menyertakan pengecas bersama iPhone 12.

Gara-Gara Tidak Tawarkan Pengecas Bersama iPhone 12, Apple Sekali Lagi Disaman Di China

Brazil Sekali Lagi Akan Saman Apple Kerana Tidak Menyediakan Pengecas Pada Siri iPhone 13