Macbook Pro sering menjadi buruan para profesional di dalam industri kerana prestasi yang cemerlang menerusinya. Namun begitu, sejumlah syarikat gergasi masih mengalami krisis kekurangan cip dan komponen membuatkan kelancaran pengeluaran menjadi terbantut ketika ini.

Terbaharu, lkini dilihat mengalami masalah dalam memenuhi permintaan semasa untuk MacBook Pro. Berdasarkan semakan pada laman rasmi Apple Malaysia, model MacBook Pro yang ditempah hari ini hanya akan diterima sekitar pertengahan ke penghujung Julai kelak.

Sumber Gambar: Apple Malaysia

Daripada penyenaraian tersebut, kedua-dua model MacBook Pro 14-inci dan juga 16-inci memperlihatkan penghantaran pada Julai 2022 kelak. Hal ini masih menjadi masalah utama buat Apple yang mana pernah dilaporkan sebelum ini bahawa angka jualan dijangka berkurang pada suku tahunan ini kerana kesukaran mendapatkan komponen.

Buat masa ini, Apple dikatakan mahu menfokuskan pengeluaran di negara Vietnam dan India dalam meningkatkan lagi pengeluaran barisan produk mereka. Sementara di China, pengeluaran masih perlahan kerana perintah kawalan pergerakan sedang dijalankan ekoran peningkatan kes baharu.

Kini terdapat jangkaan MacBook Air 2022 bakal hadir dengan rekaan baharu serta penggunaan cip M2 pada pertengahan kedua tahun ini.

MacBook Air 2022 Dengan Rekaan Baharu Dijangka Hadir Pada Pertengahan Kedua Tahun Ini

Apple Tidak Lagi Akan Menawarkan MacBook Berasaskan Cip Intel Di Malaysia

Sumber