Kriptowang menjadi salah satu perkara yang sering menjadi perdebatan sama ada ia sebagai satu alternatif pembayaran alaf baharu yang sah atau sebaliknya. Maka, terdapat sejumlah negara yang membahaskan mengenainya kerana kriptowang semakin dikenali ramai dan mulai digunakan secara meluas.

Terbaharu, Timbalan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidi berkata bahawa pihak kementerian mahu mendaftarkan kriptowang sebagai tender sah walaupun sedia maklum ia di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti.

Sumber Gambar: The Star

Beliau berpendapat langkah tersebut penting kerana ia merupakan salah satu bentuk “perniagaan masa depan” dan “program kewangan masa depan”. Hal ini kerana pihak K-KKOM menyatakan bahawa sebahagian golongan muda sudah mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit daripada penjualan NFT dengan adanya transaksi menerusi kriptowang.

Selain itu, beliau mengakui pihak kementerian sedia maklum tentang penggunaan kripto dalam perniagaan di kalangan anak muda dan perkembangannya di peringkat global. Malah, beliau turut berharap kerajaan dapat membenarkan penggunaan kripto yang sah di sisi undang-undang agar anak muda yang terlibat dapat dibantu contohnya dari segi penggunaan elektrik untuk melombong kriptowang.

Oleh itu, inisiatif ini dilihat perlu diambil agar semua aktiviti berkaitan kripto seperti penjualan NFT boleh dilakukan secara sah selari dengan undang-undang Malaysia. Selain itu, ia dapat membendung kegiatan kecurian elektrik yang sering berlaku akibat melombong kriptowang pada sebelum ini.

Dalam pada itu, TNB juga sebelum ini telah mencadangkan pengenalan tarif khas untuk pelombong Bitcoin tempatan.

Mahu Bendung Kes Kecurian Elektrik, TNB Cadang Pengenalan Tarif Khas Untuk Pelombong Bitcoin

PDRM Dedah Nilai Kecurian Elektrik Bagi Melombong Kripto Melonjak 45 Kali Ganda Sepanjang 2021

Sumber