Setiap kali menjelang 1 April yang sinonim dengan April Fool, pastinya setiap syarikat luar negara berlumba-lumba untuk menghasilkan jenama April Fool sebagai salah satu cara pemasaran untuk menarik perhatian orang ramai.
Razer selaku syarikat penawaran barangan dan aksesori gaming pada tahun 2013 pernah mengeluarkan sebuah jenama April Fool dimana mereka mengumumkan bakal mengeluarkan pembakar roti dengan jenama mereka. Meskipun rekaannya berjaya menarik perhatian peminat jenama ini namun umum tahu mereka tidak akan mengeluarkannya.
Enam tahun berlalu, CEO Razer, Min-Liang Tan mengumumkan mereka secara rasminya bakal mengeluarkan pembakar roti mereka sendiri yang dinamakan sebagai Razer Toaster.
Difahamkan idea ini hadir selepas Razer memuat naik sebuah status di laman Facebook serta disambut baik oleh para peminat sekaligus membuatkan Razer optimis untuk mengeluarkan pembakar roti.
Mungkin sesuatu yang unik namun agak menarik untuk menyaksikan bagaimana sebuah jenama yang sinonim dengan penawaran barangan dan aksesori gaming mengeluarkan pembakar roti. Mungkinkah ini permulaan buat Razer sebelum mengeluarkan lebih banyak lagi barangan kelengkapan di rumah?