Kebiasaanya kita bermain permainan hanya sebagai hobi atau mengisi masa lapang sahaja. Terbaharu, permainan dilihat segelintir pemain sebagai platform menjana pendapatan. Permainan yang dimaksudkan adalah Axie Infinity di mana para pemain berpeluang menjana kriptowang Ethereum.

Axie Infinity sudah sedia dibangunkan sejak tahun 2018 lagi namun permainan ini mula menarik perhatian ramai sejak berlakunya pandemik. Hal ini kerana permainan ini dianggap sebagai satu pelaburan kerana pemain akan diberikan ganjaran berasaskan kriptowang pada setiap hari. Permainan ini boleh diakses menerusi telefon pintar ataupun komputer.

Kenali Axie Infinity

Sumber Gambar: Axie Infinity

Permainan Axie Infinity merupakan sebuah permainan NFT yang membawakan pengalaman eksplorasi bersama mahluk yang dikenali sebagai Axie untuk melepasi setiap cabaran yang diberikan serta bertarung secara langsung bersama pemain lain. Permainan ini telah dibangunkan oleh syarikat Sky Mavis yang berpengkalan di Vietnam.

Perkara yang telah menarik perhatian di kalangan pengguna internet terhadap Axie Infinity sudah tentulah ganjaran yang diberikan setiap kali menyelesaikan misi yang diberikan dalam bentuk kriptowang yang dikenali sebagai Smooth Love Potion (SLP) dan Axie Infinity Token (AXS).

Sumber Gambar: Malavida

Sebelum anda boleh menikmati ganjaran berkenaan, anda perlu mendapatkan minimum tiga Axies di dalam pasukan terlebih dahulu. Harga pasaran bagi satu Axies pada hari ini bermula pada $300 (~RM1,247) sehingga $400 (~RM1,663) yang bergantung kepada bajet seseorang dalam membangunkan pasukan yang kuat.

Terdapat pilihan lain dengan menyewa Axie daripada pemain lain dan berkongsi keuntungan yang dihasilkan menerusi program Scholarship di mana ianya lebih murah serta lebih terjamin dengan pasukan Axie yang strategik. Akan tetapi, program ini hanya boleh disertai oleh jumlah pemain yang terhad pada tempoh tertentu.

Cara menjana pendapatan dalam permainan Axie Infinity

1. Mengumpul dan menjual SLP .
permainan axie infinity
Sumber Gambar: Coin base

Salah satu cara utama menjana pendapatan menerusi Axie Infinity adalah dengan menyelesaikan semua tugasan harian dan bermain di mod pengembaraan. Setiap pemain boleh menerima sekitar 150 SLP sehingga 200 SLP pada setiap hari. Setakat hari ini, nilai 1SLP bersamaan $0.095 (~RM0.40) di mana anggaran dalam sehari boleh menjana pendapatan sebanyak RM60.

2. Menjual Axies di pasaran
permainan axie infinity
Sumber Gambar: Axie Infinity

Pemain boleh menghasilkan Axies yang baharu dengan menggabungkan kedua-dua Axies yang berlainan. Setiap Axies baharu yang terhasil mempunyai ciri dan kuasa yang unik. Anda boleh menjual Axies berkenaan menerusi tempat pasaran khas bagi Axies yang kebiasaannya dikunjungi oleh pengguna internet di seluruh dunia.

3. Membeli Axies pada harga rendah dan jual semula apabila nilai meningkat
Sumber Gambar: Axie Infinity

Sebahagian spesies Axies yang baharu selalunya boleh didapati dengan harga yang murah. Selepas pemain sudah menyedari potensi Axies tersebut, nilai Axies berkenaan akan melonjak naik dan pemain boleh menjual untuk mendapat keuntungan daripadanya.

Namun begitu, terdapat beberapa risiko yang pemain perlu hadapi apabila meletakkan sejumlah wang besar menerusi Axie Infinity. Antaranya, kadar nilai SLP akan berubah mengikut tempat pasaran semasa dan dilihat ianya tidak konsisten dan sangat berisiko untuk dijadikan sumber pendapatan utama.

Sumber Gambar: Facebook

Selain daripada itu, pemain baharu juga sering melakukan kesilapan dalam mendapatkan kombinasi pasukan Axies yang baik untuk jangka masa panjang. Sebahagian pemain sudah membelanjakan lebih daripada RM3,000 tetapi gagal menyelesaikan misi harian dalam mendapatkan pendapatan yang diimpikan selama ini.

Disebabkan jumlah pemain yang semakin meningkat, pihak pembangun menghadapi kesukaran dalam menampung jumlah pemain semasa yang tinggi dalam server. Oleh sebab itu, pemain sering terkeluar daripada permainan yang sekaligus boleh memberi impak kepada pendapatan harian mereka.

Konklusinya, anda boleh mencuba permainan Axie Infinity sebagai pendapatan sampingan sahaja kerana bukan semua orang berpeluang menjana pendapatan yang konsisten menerusinya. Anda juga perlu mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi mendapatkan pasukan yang bagus di mana ia boleh menjejaskan bajet kehidupan sekiranya tidak dirancang dengan sebaiknya.

Selain itu, anda juga boleh menjual karya digital menerusi platform Pentas di mana direka khas untuk memperlihatkan budaya Malaysia.

Pentas, Platform Jual Beli NFT Tempatan Memfokuskan Budaya Malaysia

Kanak-Kanak 12 Tahun Ini Jana Lebih RM1.6 Juta Hasil Jualan Karya NFT