Sebut mengenai ASUS ROG pastinya ramai yang cukup tahu dengan jenama yang sememangya aktif dalam mengeluarkan peranti berspesifikasi tinggi ini tidak kira bagi model desktop, komputer riba mahupun telefon pintar.

Terbaharu, ASUS ROG telah melancarkan dua model baharu iaitu ASUS ROG Phone 6D dan 6D Ultimate dengan penggunaan cip MediaTek Dimensity 9000+ yang lebih berkuasa.

Model ini hadir dengan skrin 6.78-inci AMOLED FHD+ dengan refresh rate  mencecah 165Hz. Selain itu, model ini turut hadir dengan paparan HDR10+ dalam menawarkan kecerahan yang maksimum khususnya buat para gamers.

Dari segi spesifikasi, ASUS ROG Phone 6D dan 6D Ultimate masing-masing hadir dengan processor Dimensity 9000+, 16GB RAM, 512GB ruang storan beserta bateri berkapasiti 6,000mAh. Selain itu, kedua-dua model ini turut menyokong pengecasan pantas sehingga 65W.

Model ini turut hadir dengan tiga kamera pada bahagian belakang terdiri daripada kamera utama 50-megapixel, kamera 13-megapixel ultra wide dan 5-megapixel makro manakala kamera swafoto pula hadir dengan sensor 12-megapixel.

Apa yang membuatkan model ini unik adalah penawaran butang Air Trigger yang sekaligus menjadi butang tambahan untuk bermain game. Selain itu, model ini turut dilengkapkan dengan 3.5mm audio jack beserta dua port pengecasan USB-C dalam memudahkan pengecasan sewaktu menggunakannya.

Apa yang membezakan kedua-dua model ini adalah model ASUS ROG 6D Ultimate hadir dengan ruang storan 512GB berbanding ASUS ROG 6D yang hadir dengan 256GB ruang storan.

Selain itu, ASUS ROG Phone 6D dilengkapi dengan panel belakang RGB LED manakala 6D Ultimate hadir dengan skrin ROG Vision PMOLED. Penawaran lain seperti lubang udara serta sistem kipas penyejuk AeroActive Cooler yang tersedia pada ASUS ROG Phone 6D Ultimate.

Mengulas dari segi harga, ASUS ROG Phone 6D ditawarkan pada harga sekitar £799 (~RM4158) manakala ASUS ROG Phone 6D Ultimate hadir dengan harga yang lebih premium iaitu £1199 (~RM6239).