Sebut mengenai Apple, pasti ramai yang cukup tahu di mana jenama ini sering kali hadir dengan produk beserta tanda harga yang premium. Walau bagaimanapun, harganya yang tinggi seolah tidak menjejaskan para peminat untuk mendapatkannya.

Terbaharu, menerusi pelancaran Apple AirPods generasi ketiga dan Apple MacBook Pro terbaru, pihak Apple dengan pantas telah mengemas kini laman mereka dalam menyertakan harga dan pilihan yang tersedia buat para pembeli.

Menarik perhatian ramai, Apple MacBook Pro bersaiz 16-inci yang hadir dengan pilihan cip Apple M1 Max selaku cip paling berkuasa daripada siri Apple M1 turut hadir dengan beberapa pilihan spesifikasi membolehkan pengguna menetapkan jumlah RAM dan ruang storan tambahan sebelum membuat tempahan.

Berdasarkan tinjauan, Apple MacBook Pro bersaiz 16-inci dengan processor Apple M1 Max, RAM 64GB beserta 8TB SSD hadir dengan tanda harga yang mengejutkan ramai iaitu RM25,199.

Bukan itu sahaja, pembeli yang mahu menambah perisian Final Cut Pro dan Logic Pro serta pelan AppleCare Protection perlu menambah sebanyak RM3,418.80 menjadikan harga Apple MacBook Pro dengan spesifikasi bernilai RM28,617.80.

Sememangnya sebuah harga yang tinggi untuk sebuah komputer riba namun mungkin berbaloi buat mereka yang memerlukannya untuk kerja pemprosesan yang tinggi. 

Ketahui lebih lanjut, mengenai perubahan yang ditawarkan Apple menerusi acara Acara Event iaitu Apple MacBook Pro dan Apple AirPods Pro.

Apple MacBook Pro Dilancarkan Dengan Dua Pilihan Cip Apple M1 Baharu Bermula Daripada RM8,799

Apple Lancarkan AirPods Generasi Ketiga Secara Rasmi Dengan Harga RM829